Bilik Gerakan SPRM Untuk PRK Kimanis Diaktifkan 24 Jam

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Ke arah memastikan proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis berjalan secara telus, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengaktifkan operasi Bilik Gerakan SPRM selama 24jam bermula hari ini.

Pengarah SPRM Sabah, Karunanithy A/L Y.Subbiah berkata, bilik gerakan itu beroperasi bermula hari ini, di Pejabat SPRM Sabah.

Untuk itu, jika ada sebarang isu bermula dari Hari Penamaan Calon pada 4 Januari sehingga Hari Mengundi pada 18 Januari, boleh dilaporkan kepada bilik gerakan ini.

Beliau berkata, pegawai SPRM juga akan ditempatkan untuk turun padang melakukan pemantauan sepanjang PRK Kimanis berlangsung.

“Kita menempatkan setiap pegawai bertugas dan penyelia dalam bilik gerakan itu. Malah, ada juga pegawai yang akan turun ke lapangan untuk melakukan pemantauan,” katanya ketika ditemui selepas dua pegawai SPRM Melapor Diri kepada Ketua Menteri, di Pejabat Ketua Menteri, di sini hari ini.

Karunanithy berkata, sesiapa sahaja yang mempunyai isu dan ingin mengemukakan aduan berkaitan rasuah sepanjang proses pilihan raya itu berlangsung boleh menghubungi bilik gerakan ini melalui talian 088 488381.