Bilik Gerakan Bencana Tamparuli Diaktifkan – Jahid Jahim

TAMPARULI: Bilik Gerakan Jawatankuasa Bencana Banjir di Pejabat Daerah Kecil Tamparuli telah diaktifkan sebagai persiapan bagi memindahkan penduduk sekiranya paras air semakin naik.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim berkata, bilik gerakan itu akan mengumpul maklumat daripada Bilik Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tuaran.

“Saya telah meminta Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tamparuli dan Pejabat ADUN Tamparuli untuk bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir.

“Ini bagi membolehkan penyaluran bantuan dan pemindahan mangsa-mangsa banjir yang terlibat dilakukan dengan baik,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Creamos Bun dan roti kepada penduduk dikuarantin akibat Covid-19 di Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, hari ini.

Jahid berkata, pengaktifan bilik gerakan dengan serta-merta itu penting bagi menyampaikan maklumat mengenai mana-mana kawasan yang memerlukan bantuan seperti bot, pusat pemindahan, bantuan barangan keperluan dapur dan sebagainya.

Menurutnya, buat masa ini tiga kawasan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dikenal pasti adalah di Masjid Kampung Bunga Tenghilan, Dewan Tun Hamdan dan Dewan Seri Sulaman dan jika ada keperluan ianya akan ditambah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, sejak pagi tadi beliau memantau keadaan-keadaan terkini banjir yang berlaku di kawasan berisiko yang dikenal pasti di kawasan Tuaran khususnya Tamparuli.

“Jika perlu Pejabat ADUN Tamparuli juga akan membantu menyediakan tempat bagi mengumpul maklumat dan menyelaras tindakan untuk penyaluran bantuan,” jelasnya.

Dalam majlis itu, sebanyak 7,000 Creamos Bun dan 1,000 roti Keras Manis diserahkan kepada lebih kurang 500 orang dari sembilan kampung terlibat.

Majlis itu adalah anjuran bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Pejabat ADUN Tamparuli, Pejabat Daerah Kecil Tamparuli dan UPPM Tamparuli.

Jahid turut menghargai usaha Syarikat Kim Teck Cheong atas kesudian berkongsi rezeki kepada masyarakat memerlukan. Syarikat itu juga bersetuju untuk menyumbang bun itu kepada mereka yang terjejas akibat banjir.

Selepas majlis tersebut, Jahid turut melawat Kampung Sungai Damit iaitu salah sebuah kampung yang turut dinaiki air.

Turut hadir adalah Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, Dexter Lau, Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Jilias Lintar dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak.