Bilangan Mangsa Banjir Sabah Menurun Kepada 628 Orang, Setakat 4 Petang

KOTA KINABALU: Bilangan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara, PPS di Sabah menurun kepada 628 orang dari 187 keluarga sehingga 4 petang tadi berbanding 738 orang daripada 212 keluarga, setakat 4 petang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah berkata penurunan itu susulan penutupan sebuah lagi pusat pemindahan sementara, PPS di Dewan Kampung Kusilad, Pitas yang sebelum ini menempatkan 184 mangsa banjir dari 48 keluarga.

PPS Dewan Kampung Kusilad ditutup jam 1 petang semalam setelah keadaan banjir di Pitas beransur pulih dan penduduk dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Sehingga jam 4 petang tadi, daerah Telupid yang paling teruk terjejas dengan 455 mangsa dari 130 keluarga ditempatkan di 9 PPS di daerah itu.

Ini diikuti daerah Paitan dengan 122 mangsa banjir dari 44 keluarga yang dipindahkan ke 3 PPS.

Di Lahad Datu, 45 mangsa banjir dari 12 keluarga ditempatkan di sebuah PPS.

Manakala di Beluran, 6 mangsa banjir dari sebuah keluarga ditempatkan di sebuah PPS.

Secara keseluruhannya, 14 PPS masih dibuka di Sabah iaitu 9 di Telupid, 3 di Paitan dan masing-masing 1 PPS di Lahad Datu dan Beluran.

9 PPS yang dibuka di Telupid ialah Dewan Kampung (Kg) Bauto, Dewan Rancangan Nangoh, Dewan Kg Mauu, Masjid (Lama) Gana Jati, Balai Raya Kg Pinunuanakan, Dewan Kg Bambangan, Dewan Orang Ramai Kg Kiabau, Dewan Kg Bakong-Bakong dan Masjid Kampung Nangoh.

Manakala di Paitan, 3 PPS yang masih beroperasi ialah Dewan SMK Pamol, Rumah Pengerusi JPKK Kampung Cocos dan Pusat Komuniti Masyarakat Daerah Kecil Paitan.

Manakala sebuah PPS dibuka di Lahad Datu iaitu di Dewan Pusat Latihan Vokasional Lahad Datu.

Sebuah PPS dibuka di Beluran hari ini iaitu di Balai Raya Kampung Klagan.