Bil Air Dibayar; Pengurusan Masih Potong Meter Penghuni Nountun

JANGAN SUSAHKAN PENGHUNI, JIMMY WONG BERI AMARAN PADA PIHAK PENGURUSAN APARTMENT DAN KONDOMINIUM

Oleh KEE HELMEY KEE ZAINAL
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kota Kinabalu Jimmy Wong memberi amaran tegas kepada semua pengurus penyelengara Apartmen dan Kondominium disabah agar tidak sewenang-wenangnya menaikan cas penyelengaraan, dan untuk melakukan tugas dengan lebih proaktif supaya tidak menyusahkan penghuni.

Jimmy berkata demikian berikutan pertemuan serta aduan penghuni Nontun Apartment di Kolombong, yang mengadu masalah yang timbul diantara penghuni dengan pihak pengurusan tempat mereka tinggal.

Menurut aduan penghuni difahamkan timbul akibat daripada kenaikan cas penyelengaraan yang mendadak serta wujud ketidak jujuran dalam pengurusan audit sehinggakan pihak pengurusan terpaksa menanggung hutang cas bil air semasa berjumlah RM173,885.31 dengan Jabatan Air, dan penghuni menjadi beban akibat masalah itu.

Jimmy Wong mendengar aduan dari penghuni Nountun Apartment. 

Kata jimmy pihak pengurusan telah bertindak untuk membuat pemotongan meter air penghuni, dengan alasan ingin menjelaskan tunggakan tersebut, walhal penghuni telah pun membayar cas bil air semasa kepada pihak pengurusan setiap bulan.

Bukan setakat itu, pihak pengurusan juga telah menaikkan cas penyelengaraan yang pada mulanya hanya berjumlah RM50 tetapi telah dinaikan sehingga RM200, bermakna pihak pengurusan telah menaikkan cas penyelengaraan sehingga 300 peratus dan dikatakan tanpa persetujuan atau perbincangan dengan persatuan penghuni di sana.

Sebelum ini, penghuni Nountun telah memanggil Dr Roland Chia (ADUN Inanam) untuk berbincang dengan pihak pengurusan agar dapat mencari jalan penyelesaian.

DR ROLAND CHIA

Dalam pertemuan tersebut beliau meminta agar pihak pengurusan memberi tempoh kepada penghuni agar tidak memotong bekalan air sementara mencari punca sebenar namun tidak di endahkan oleh pihak pengurusan dan tetap melakukan pemotongan.

“Menurut penghuni apartment Nountun, mereka telah pun menjelaskan bil bulanan air mereka kepada pihak pengurusan tetapi mengapa pihak pengurusan masih berhutang dengan Jabatan Air dan kenapa penghuni yang dijadikan mangsa sedangkan pihak pengurusan yang berhutang,” kata Jimmy.

“Berdasarkan apa yang dimaklumkan, seolah-olah wujud kegiatan pecah amanah dari pihak pengurusan, yang mana mereka gagal menunjukkan penyata akaun audit ketika diminta oleh wakil persatuan penghuni sewaktu perjumpaan bersama pihak pengurusan untuk berunding yang telah diadakan baru baru ini.”

Sebagai usaha untuk menyelesaikan permasalahan ini, Jimmy telah mencadangkan bahawa pihak persatuan penghuni tersebut, melantik seorang juruaudit untuk membantu menyemak akaun pihak pengurusan dan melantik seorang peguam untuk tujuan tindakan undang undang.

Seorang wakil penghuni Nountun, Steven Lau berkata, satu surat akan dikeluarkan untuk mendapatkan persetujuan daripada semua penghuni Nountun, untuk mengadakan satu mesyuarat khas untuk merombak semua jawatankuasa dalam komiti persatuan, sekaligus satu mesyuarat bersama pihak pengurusan untuk menyelesaikan permasalah yang membelenggu penghuni penghuni Nontun.

Pihak pengurusan yang sedia ada kini adalah pihak pengurusan yang baru ketika mengambil alih daripada pengurusan lama pada 2016 dan kini sejumlah 251 unit penghuni Nountun Apartment berada dalam dilema semenjak mengambilalihan tersebut.