Bicara Bung Moktar, Zizie Izette Tangguh Ke 2 Feb

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menangguhkan perbicaraan kes rasuah membabitkan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette A. Samad susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu bermula esok.

Hakim Rozina Ayob menangguhkan perbicaraan itu yang telah mendengar keterangan 10 saksi pendakwaan dan menetapkan 2 Feb depan untuk menyambung perbicaraan.

“Sekiranya PKP tidak bersambung, anda dikehendaki hadir pada 2 Feb depan. Jika sebaliknya, saya perlu menanti arahan daripada Ketua Pendaftar Mahkamah, tertakluk kepada makluman selanjutnya,” kata beliau.

Pada perbicaraan akan datang, pihak pendakwaan akan memanggil saksi pendakwaan ke-11, Pengurus Kanan Pentadbiran dan Kewangan di Yayasan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), Azriman Ridouan, 44, untuk memberi keterangan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Faridz Gohim Abdullah, Mohd Sophian Zakaria, Siti Noor Hafizan Zakaria, Maziah Mohaide dan Abdul Rashid Sulaiman manakala Bung Moktar dan isterinya diwakili peguam Datuk K. Kumaraendran, M. Athimulan, Ridha Abdah Subri dan Ahmad Adha Amir Yasser. 

Mahkamah sebelum ini menetapkan semalam hingga Jumaat ini untuk perbicaraan pada minggu ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya semalam mengumumkan pelaksanaan PKP di Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor dan Sabah serta Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) bermula 13 Jan hingga 26 Jan ini.

Bung Moktar, 61, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra pada ketika itu, dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Madhi Abdul Hamid, 38, menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.

Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai untuk dirinya sebanyak RM335,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Norlaili Ahmad Mokhtar, 42, di bawah nama Zizie Izette atas sebab yang sama. Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette, seorang pelakon, pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara yang sama, di tempat, tarikh dan masa yang sama.