Kegigihannya bekerja sambil belajar untuk membiayai sendiri pengajiannya sepanjang belajar di Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) membolehkan Shing Pau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tun Mustapha.
Anak muda yang berasal dari Kampung Keduko, Papar ini berulang alik menggunakan basikal dari tempat kerjanya di Imago ke UCSF setiap kali dia perlu bekerja sambilan.
“Gaji yang saya dapat tidak menentu, ia bergantung kepadda bilangan hari bekerja. Jika musim peperiksaan, saya hanya memperoleh kira-kira RM300 tetapi, sekiranya hari bekerja lebih lama, pendapatan saya boleh mencecah RM600.
“Saya berasal dari keluarga susah dan memahami keadaan kewangan mama sebagai penoreh getah dengan pendapatan tidak menentu,” katanya semasa Majlis Konvokesyen UCSF baru-baru ini.
Shing Pau berkata, ayah kandungnya meninggal dunia semasa dia berusia lapan tahun dan sejak itu, beliau dibesarkan oleh ibu dan ayah tirinya.
Namun, sebelum sempat melihat dia menamatkan pegajian sebagai graduan Fakulti Sains Alam Semulajadi dan Kelestarian, ayah tirinya pula meninggal dunia.
“Mendiang ayan tiri saya seorang yang tegas dan sentiasa menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan.
“Pemergiannya pada 3 Januari lepas, membuatkan saya terkilan kerana malam sebelumnya kami sempat makan bersama-sama,” tambahnya.
Anak muda ini kini bekerja sebagai Pegawai Alam Sekitar di Kinabalu Environmental Consultancy Sdn. Bhd.
Shing Pau berazam memperbaiki kehidupan keluarga dan berterima kasih kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sen Ming, Papar Middle School dan UCSF, yang memberikannya peluang menimba ilmu tanpa mengeluarkan sesen pun.