‘Bersatu-UMNO Bertelagah, Kita Jadi Mangsa’ – Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Pertelagahan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)-UMNO dalam mengukuhkan kedudukan masing-masing menyebabkan Parti Warisan Sabah (Warisan) menjadi mangsa.

Ketika ini perbuatan membeli wakil rakyat kembali berlaku di Sabah dan pelbagai imbuhan dan tawaran mula diberikan kepada wakil rakyat Warisan.

Berikutan itu, Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal mahu agar budaya membeli wakil rakyat ini dihentikan dengan melaksanakan segera undang-undang lompat parti.

Beliau berkata, budaya politik tidak sihat sebegini harus dihentikan. Biarpun kerajaan memerintah hari ini mahu melaksanakan undang-undang lompat parti tetapi, pemimpin mereka juga yang bertindak membeli wakil rakyat Warisan.

“Apabila orang mereka melompat menyertai kita, perbuatan itu diharamkan tetapi, bila wakil rakyat kita melompat menyertai parti mereka, itu halal.

“Kita faham masalah politik di Sabah, Bersatu dan UMNO mahu mengukuhkan jumlah mereka untuk melihat siapa menjadi Ketua Menteri dan berkuasa di Sabah tapi, kita pula menjadi mangsa.

“Atas sebab itulah, Warisan mahu memastikan undang-undang lompat parti ini dibentangkan segera di Parlimen. Kami juga sudah bertemu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagi membincangkan tentang keperluan melaksana undang-undang ini,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Warisan, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Semporna ini turut menyatakan kekesalannya dengan budaya politik hari ini. Tindakan menarik wakil rakyat Warisan dengan tawaran pelbagai imbuhan dan jawatan ini perlu dihentikan.

“Malah Datuk Dr Yusof Yacob sendiri menyatakan mana-mana ADUN Warisan lain yang ingin masuk dalam GRS akan menerima RM1 juta. Saya amat kesal dengan perbuatan ini bertentangan dengan perjuangan kita yang ingin membantu rakyat,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang ini berkata, biarpun kerajaan persekutuan berusaha meminta Warisan menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) demi kerjasama bipartisan tapi, tindakan pemimpin mereka menarik wakil rakyat Warisan melambangkan keadaan sebaliknya.

Masih berlaku cubaan menawarkan jawatan dan imbuhan untuk menarik keluar dan menekan mana-mana ahli Parlimen dan ADUN pembangkang bagi menyertai parti kerajaan. Ia amat bertentangan dengan semangat ‘Keluarga Malayia’.