Bersatu Sumbang Bubu Bantu Nelayan Labuan

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (tiga, kanan) menyempurnakan penyerahan kepada nelayan Abdullah Aji Burut sempena Program Penyerahan Bubu Ikan di Kampung Sungai Labu hari ini. Turut sama Ketua Bahagian Bersatu Labuan Datuk Suhaili Abd Rahman (dua, kiri). Seramai 15 nelayan pesisir pantai menerima bubu ikan menerusi projek ‘pilot’ Bersatu Labuan bagi membantu mempertingkatkan lagi hasil penangkapan ikan yang lebih efektif.

LABUAN: Seramai 15 nelayan pesisir pantai di sini menerima bantuan bubu sumbangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi membantu meningkatkan lagi hasil tangkapan ikan di pulau itu.

Ketua Bahagian Bersatu Labuan Datuk Suhaili Abd Rahman berkata bubu yang dihasilkan menerusi teknologi Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu adalah program perintis parti yang diharap dapat membantu memperbaiki ekonomi nelayan yang bergiat secara kecil-kecilan.

“Saya ingin mengembalikan apa yang telah saya laksanakan semasa saya menjadi Ahli Parlimen dahulu untuk membantu memperbaiki kehidupan warga Labuan khususnya yang menjalankan sektor perikanan pesisir pantai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penyampaian alat penangkap ikan itu oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh di Balai Raya Kampung Sungai Labu di sini hari ini yang turut dihadiri lebih 400 warga Labuan.