Bersatu Sabah Sokong Pelantikan Naib Canselor UMS Baharu

MOHD ISQUZAWAN ISRAQ

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Walaupun pelantikan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) dikesali kerana dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan tanpa mengambil kira pandangan kerajaan negeri Sabah terlebih dahulu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah pula menyokong penuh langkah tersebut.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Sabah, Mohd Isquzawan Israq Arsit berkata, Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin sebenarnya calon yang berkualiti dan mempunyai merit.

“Kami yakin keputusan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik telah mengambil kira kriteria ini dalam keputusan beliau.

“Bersatu Sabah menyambut baik dan menyokong penuh keputusan melantik Dr. Taufiq sebagai Naib Canselor UMS yang baharu”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pelantikan tersebut tidak bermasalah, namun dibuat atas keputusan sendiri Kementerian Pendidikan tanpa mendapat pandangan kerajaan negeri.

Kata Mohd. Shafie, walaupun mempunyai kuasa melantik, Kerajaan Persekutuan sepatutnya mendapatkan pendapat daripada kerajaan negeri terlebih dahulu.

Berikutan pelantikan itu Timbalan Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan) Mohd. Ismail Ayub hari ini tampil mengkritik Maszlee kerana dilihat seolah-olah cuba menghina rakyat Sabah.

Mohd. Ismail seperti dilaporkan berkata, jika pelantikan seperti itu pun gagal mendapat pandangan pemimpin Sabah, maka timbul keraguan sama ada Kerajaan Pusat akan menunaikan tuntutan rakyat Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Mohd Isquzawan Israq Dr. Taufiq adalah anak tempatan Sabah yang memiliki kelayakan akademik dan pengurusan cemerlang yang telah mendapat pengiktirafan bukan sahaja di negara ini tetapi juga diperingkat antarabangsa.

Sehubungan itu katanya, Bersatu Sabah akan memberi kerjasama penuh kepada Dr. Taufiq sepanjang beliau memimpin UMS.

“Beliau memerlukan sokongan dan dokongan daripada rakyat Sabah secara keseluruhannya dalam usaha mencapai matlamat murni ini.

“Bersatu Sabah mengucapkan selamat bertugas kepada Dr. Taufiq”, katanya.

BERITA BERKAITAN: –

Pelantikan NC UMS: Kementerian Pendidikan Abai Pandangan Sabah

Kementerian Pendidikan Pertahan Pelantikan Naib Canselor UMS

Naib Canselor UMS: Maszlee Seperti Hina Rakyat Sabah