Bersatu Sabah Mahu Tanding 45 Kerusi

HAJIJI

KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah telah bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Bersatu Sabah akan mengadakan mesyuarat minggu depan bagi memperhalusi persiapan jentera pilihan raya parti di setiap kawasan DUN.

“Kita sudah bersiap sedia dan telah mengenalpasti 45 kawasan DUN yang akan ditandingi oleh calon-calon Bersatu.

“Kita akan mengemukakan calon-calon  berwibawa, mempunyai credibility, capability dan “winnable” bagi memenangi kerusi yang akan ditandingi”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Walau bagaimanapun katanya, Bersatu Sabah bersedia berbincang dengan parti-parti dalam komponen Perikatan Nasional (PN), UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN Sabah, demi mengumpul kekuatan untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya akan datang.

Hajiji berkata,  Bersatu Sabah juga akan menawarkan manifesto dan hala tuju terbaik untuk rakyat Sabah, yang antara lain memfokus kepada membangun semula ekonomi negeri setelah  krisis dan pandemik Covid-19.

Menurutnya, aspek lain yang akan menjadi keutamaan perjuangan Bersatu Sabah ialah terus memastikan hak-hak dan kepentingan rakyat dan negeri Sabah terus dipertahankan.

Katanya, aspek keselamatan, pendidikan, sosial ekonomi, kesejahteraan rakyat dan negeri Sabah, selain perpaduan kaum juga merupakan keutamaan perjungan parti itu.

“Kita akan pastikan rakyat Sabah yang menetap di negeri ini berasa selamat, tenteram, selesa, muhibbah dan sejahtera.

“Kita yakin, Bersatu akan menjadi alternatif terbaik dan diterima oleh sebilangan besar rakyat untuk menerajui negeri Sabah”, tegasnya.

Hajiji berkata, Bersatu Sabah akan melancarkan manifesto pilihanraya sebelum tarikh penamaan calon.

“Menerusi manifesto yang akan dilancarkan, kita akan menawarkan yang terbaik untuk rakyat dan negeri Sabah jika diberi peluang membentuk kerajaan negeri,” tambahnya.