Bersatu Sabah Mahu Agihan Kerusi Baharu, Mahu Jawatan Diberikan

282
LAJIM UKIN

KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah berharap 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu yang akan diwujudkan di Sabah diagihkan dengan adil melibatkan Bersatu.

Pengarah Strategi dan Pilihan Raya Bersatu Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, kawasan bumiputera Islam dan kaum Kadazan, Dusun serta Murut (KDM) adalah kerusi yang sesuai diberikan kepada Bersatu.

Katanya, satu kajian komposisi penduduk dan sokongan rakyat akan dilakukan di seluruh negeri bagi memudahkan parti itu menilai kerusi yang diinginkan sebelum dicadangkan kepada pucuk pimpinan Bersatu Pusat untuk dipertimbangkan.

“Kami akan bincang tentang kerusi baharu ini kerana Bersatu mesti ada agihan, itu kerusi baharu bukan milik sesiapa dan Bersatu sudah kenal pasti di mana kerusi yang kami ada penyokong serta boleh menang.

“Kalau kawasan masyarakatnya bercampur kami tidak akan bertanding kerana tumpuan Bersatu ialah kawasan bumiputera Islam dan KDM sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya hari ini.

Rabu depan, kerajaan dijangka membentangkan usul laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung penambahan 13 kerusi baharu itu di Dewan Rakyat yang telah tertangguh sejak 2016.

Jika diluluskan, SPR akan memulakan kajian kawasan untuk 13 kerusi berkenaan menjadikan 73 DUN keseluruhan bakal dipertandingkan pada pilihan raya umum akan datang berbanding cuma 60 sebelum ini.

Mengulas perkembangan politik Sabah, Lajim berkata, Bersatu Sabah berharap beberapa jawatan di peringkat negeri dapat diberikan oleh Parti Warisan Sabah (Warisan) kepada pimpinan mereka bagi menjayakan lagi kerjasama yang terjalin.

Kata Lajim, hubungan amat baik telah terjalin antara kedua-dua parti, malah pimpinan Bersatu Sabah berpegang kepada arahan Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membantu kerajaan negeri pimpinan Warisan.

“Tun Mahathir sudah kata kita ada persefahaman dan terbukti Warisan diberikan jawatan menteri dan timbalan di Kabinet Persektuan walaupun mereka bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH).

“Jadi kita harap Warisan lihat peluang itu untuk memberi ruang juga kepada pimpinan Bersatu Sabah dapat jawatan, kita tiada niat yang tidak baik cuma mahu bantu Warisan menjadi lebih kuat di Sabah,” katanya.