Bersatu Sabah Harap Kerajaan Persekutuan Bantu Tunai Aku Janji PRN Lepas

KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah berharap kerajaan persekutuan akan membantu kerajaan negeri menunaikan aku janji  pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung pada September lalu.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Hajiji Noor berkata ini sekali gus menggerakkan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya yang akan dibentangkan oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam tempoh terdekat.

“Sabah memerlukan bantuan yang lebih banyak daripada kerajaan persekutuan. Kami perlu menambah dan mencipta hasil baharu untuk negeri yang memerlukan kerjasama pusat bagi menyempurnakan hak dan kepentingan negeri yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencadangkan usul menyokong ucapan dasar presiden bersempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.

Perhimpunan itu berlangsung secara maya dari beberapa lokasi yang ditetapkan mengikut negeri dan dijalankan dengan pelaksanaan prosedur operasi standard yang ketat berikutan penularan pandemik COVID-19 di negara ini sekarang.

Ketua Menteri Sabah itu  yakin rakyat negerinya akan sentiasa menghargai jasa dan budi kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Perikatan Nasional (PN).

Hajiji turut mengusulkan beberapa agenda teras yang perlu dilaksanakan termasuk  menggerakkan parti secara berhikmah dan bijaksana berteraskan agenda perjuangan golongan pribumi tanpa menafikan hak dan kepentingan kaum-kaum lain.

Katanya PRN lepas mengajar betapa pentingnya kerjasama dan permuafakatan pribumi serta rakyat berbilang kaum, jauh lebih penting berbanding retorik politik perkauman.

“Biar perlembagaan kita, gerakan kita, bicara kita dan tindakan kita setiap masa menggambarkan keterbukaan dan keterangkuman untuk membawa golongan pribumi bersama dalam Bersatu,” katanya.

Selain itu, gerakan penambahan ahli, pendaftaran pemilih dan penubuhan cawangan perlu dilaksanakan secara agresif yang membolehkan parti berfungsi dengan lebih berkesan dalam memberi khidmat kepada rakyat.

Hajiji berkata Sabah juga mengusulkan agar parti menimbang pembentukan sayap ketiga sebagai platform khas yang digerakkan sendiri wanita muda.

“Berdasarkan data terkini, jumlah keahlian wanita muda bawah umur 30 tahun di seluruh negara hanyalah pada kadar 20 peratus daripada jumlah keseluruhan ahli Srikandi Bersatu,” katanya.