Bersatu Penampang Buat ‘U-Turn’ Pembinaan Empangan Papar

305

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan melakukan penelitian terperinci terhadap kawasan sebenar yang terlibat dalam pelan pembinaan Empangan Papar.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, beliau akan melihat tentang kemungkinan kawasan Penampang terlibat dalam pembinaan empangan berkenaan. Ia berikutan jarak antara Penampang dan Papar yang berada bersebelahan.

Bagaimanapun beliau akan melihat pelan rekaan pembinaan empangan Papar itu untuk gambaran yang jelas mengenai kawasan yang akan terlibat.

Dalam pada itu, beliau juga meminta orang ramai lebih faham keadaan yang dihadapi sekarang kerana Papar juga memerlukan pembangunan, maka bekalan air dan elektrik yang mencukupi amat diperlukan di daerah itu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kerisauan penduduk di Penampang mengenai pelan rekaan Empangan Papar yang dikhuatiri turut melibatkan kawasan mereka.

Mengenai gesaan Parti Pribumi Bersatu Penampang (BERSATU) agar pembinaan Empangan Papar dihentikan, Mohd Shafie berkata, dahulu mereka yang mahukan pembinaan itu dibuat jadi, kenapa sekarang harus menentang pembinaannya.

Pada Ahad, Senator Datuk John Ambrose meminta kerajaan mempertimbangkan semula pembinaan Empangan Papar dan mencari alternatif lain bagi menyelesaikan masalah bekalan air dan elektrik di Sabah.

Katanya, banyak cara yang boleh digunakan bagi menangani isu itu berbanding berbelanja billion ringgit untuk membina empangan yang akan membawa kemusnahan kepada alam sekitar dan menjejaskan masyarakat yang tinggal disekitarnya.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony sebelum ini dipetik memaklumkan, pembinaan Empangan Papar dijangka mampu menjana 100 kilovolt-amphere (KVA) kuasa elektrik bagi menampaung keperluan bekalan dari Papar hingga Kota Kinabalu.

Empangan bernilai RM3bilion itu juga dianggarkan mampu menampung bekalan air sebanyak 1,000juta liter sehari (MLD) dan itu dilihat akan menyelesaikan masalah air yang dihadapi di kawasan Pantai Barat Sabah.

Peter pada Isnin menyatakan tapak utama empangan itu dibina tidak dihuni oleh penduduk kampung. Bagi kawasan hilir Sungai Papar yang terlibat pula, penempatan baharu mahupun pemindahan akan dilakukan ke kawasan lain.

BERITA BERKAITAN: –

Pembinaan Empangan Papar Langkah Jangka Panjang Atasi Kekurangan Air

Empangan Papar Mampu Penuhi Keperluan Bekalan Air, Elektrik

NGO Setuju Pembinaan Empangan Papar Demi Kemajuan Sabah