BERSATU Masuk Sabah, Shafie Ingatkan Penyokong Warisan Tidak Emosional

12231

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Rakyat Sabah terutama penyokong Parti Warisan Sabah (Warisan) disarankan supaya bertenang dan tidak terlalu emosional mengenai langkah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) melebarkan sayap ke Sabah.

Ketua Menteri merangkap Presiden Warisan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, pihaknya akan terus kekal fokus dalam mentadbir negeri ini dengan sebaiknya.

“Saya sedar tentang perasaan penyokong kita dan rakyat Sabah terhadap keputusan BERSATU.

“Saya menasihatkan penyokong agar tidak emosional dan kita akan kekal fokus untuk membangunkan Sabah. Mentadbir Sabah demi kebaikan rakyat Sabah. Mentadbir Sabah dengan segala keupayaan kita dan memastikan hak kita dikembalikan dan dipulihkan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kekal sebagai keutamaan kita,” katanya ketika Sidang Media Khas, di sini pada Isnin.

Menurutnya, rakyat sudah memberikan mandat kepada Warisan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dan mereka menghormati mandat yang diberikan itu.

“Kita akan terus fokus untuk mentadbir Sabah dengan sebaiknya dengan memastikan apa yang rakyat mahu kita tunaikan seperti dalam pembangunan dan menyediakan peluang pekerjaan. Ini janji yang kita buat dan kita pastikan janji itu ditunaikan,” katanya.

Mengenai langkah BERSATU masuk ke Sabah, Warisan tidak boleh menghentikan mereka, atau hentikan mana-mana parti. Undang-undang negara membenarkan parti baharu ditubuhkan.

“Bagi kami (Warisan), kami memang mempunyai pendirian dan hala tuju yang cukup jelas.

“Kita telah bekerjasama bersama Pakatan Harapan (PH) sebelum ini dan selepas PRU kita telah membentuk kerajaan bersama-sama. Kita akan terus bekerjasama dengan mereka demi kebaikan rakyat Sabah.