Bersatu Cadang Lantik Pas Dalam Kabinet Sabah

KOTA KINABALU: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu mencadangkan kerajaan baharu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk melantik wakil pemimpin daripada Pas bagi menganggotai Kabinet negeri ini.

Senator Datuk Razali Idris berkata, pelantikan itu merupakan tanda penghargaan kepada parti Pas yang sanggup berkorban kerana tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu.

“Mudah-mudahan kerajaan GRS terus berkhidmat kepada rakyat dan segera melaksanakan aku janji PRN,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Sehubungan itu, Razali yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu berkata, pelantikan Hajiji daripada parti Bersatu adalah keputusan kata sepakat GRS yang sebulat suara ingin menentukan hala tuju Kerajaan Sabah dan bukan atas tekanan pemimpin dari Semenanjung.

“Pimpinan tertinggi dalam GRS yang turut dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri juga menampakkan agihan jawatan adalah adil dan saksama ia tidak perlu dipertikaikan lagi,” katanya.

Selasa lalu, Datuk Seri Hajiji Mohd. Noor dilantik sebagai Ketua Menteri ke-16 selepas mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri.

Turut mengangkat sumpah ialah Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya Sabah.

Sementara itu, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star),Datuk Dr. Jeffry Kitingan pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri II serta jawatan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah.