Berita Jenayah: Polis Kunak Rampas Tiga Bakakuk, Sembilan Senapang Angin

Gambar untuk ilustrasi saja. Polis Kunak menemukan tiga bakakuk dan sembilan senapang angin yang disembunyikan di bawah jambatan Jalan Tingkayu.
Gambar untuk ilustrasi saja. Polis Kunak menemukan tiga bakakuk dan sembilan senapang angin yang disembunyikan di bawah jambatan Jalan Tingkayu.

KUNAK – Polis Kunak menemukan tiga bakakuk (senapang buatan sendiri) dan sembilan senapang angin yang dipercayai disembunyikan di bawah jambatan Jalan Tingkayu, di sini hari Rabu.

Ketua Polis Daerah Kunak Supt Mohd Nasaruddin M. Nasir berkata penemuan itu berdasarkan maklumat awam.

“Saya bersama seorang pegawai dan lima anggota ke lokasi dan memeriksa jambatan itu sebelum menemukan senjata yang disembunyikan di bawah jambatan,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata kesemua senjata terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kunak dan kes diserah kepada Bahagian Siasatan Jenayah.

Pada masa sama Nasaruddin mengingatkan pihak pengurusan ladang agar memaklumkan kepada polis sekiranya ada pekerja mereka yang disyaki memiliki senjata api.

“Pengurusan ladang digalakkan memantau pekerja-pekerja mereka yang berkemungkinan berkemahiran membuat senjata api serta menggunakannya untuk tujuan pemburuan haram dan aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.

ACP Fadil Marsus
ACP Fadil Marsus

Di TAWAU, tindakan pantas orang ramai berjaya menghalang seorang penjenayah melarikan beg tangan yang diragut daripada seorang suri rumah berusia 43 tahun di sini pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, seorang lelaki berumur 35 tahun telah merentap beg tangan mangsa dari arah belakang di hadapan sebuah klinik di Batu 3, Jalan Apas, dalam kejadian kira-kira pukul 8.25 pagi.

“Suspek yang melarikan diri kemudian dikejar orang ramai selepas mangsa menjerit meminta tolong,” katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Fadil berkata, suspek yang turut mengaku mengambil dadah jenis syabu itu kini ditahan bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri.

Beliau berkata, mangsa yang dipanggil ke balai polis untuk membuat pengecaman suspek mengesahkan individu yang ditahan itu adalah 100 peratus suspek yang meragutnya.

ACP Hamzah, left.
ACP Hamzah, kiri.

Di LAHAD DATU, Ketua Polis Daerah ACP Hamzah Ahmad berkata daerah itu merekodkan penurunan kes jenayah sebanyak 38 kes bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lepas, kata.

Katanya sebanyak 337 kes dilaporkan sepanjang 12 bulan itu berbanding 374 kes pada tahun sebelumnya.

“Pihak kami akan memantapkan lagi usaha untuk membanteras jenayah dengan meningkatkan operasi termasuk pelaksanaan kepolisian komuniti yang lebih mesra masyarakat,” katanya berucap pada perhimpunan bulanan polis daerah itu.

Hamzah berkata daripada 337 kes yang disiasat tahun lalu, 185 kes berjaya diselesaikan dengan tangkapan 232 orang.

Mengenai jenayah narkotik, beliau berkata pihaknya menahan 630 orang melibatkan 557 kes sepanjang tahun lalu berbanding 414 orang merangkumi 343 kes pada 2015.

“Pada 2016, seramai 110 orang ditangkap berkaitan kes bekalan atau pengedar dadah manakala 520 lagi ditangkap kerana menagih dan memiliki dadah,” katanya lagi.