Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 9th August 2020

Bersama Hikma Juni.

* Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal mengakui masih ramai rakyat Sabah terutama di kawasan pedalaman menuntut agar tanah yang sudah diusahakan sejak sekian lama dikembalikan untuk menjadi hak milik mereka.

Ketua Menteri berkata, beliau akan memastikan agar tuntutan-tuntutan berkenaan dapat ditunaikan kerana jika tidak, sampai bila-bila pun rakyat Sabah tidak akan memiliki tanah, sedangkan negeri ini mempunyai keluasan yang cukup untuk manfaat rakyatnya.

Katanya, kesilapan utama kerajaan terdahulu adalah mengutamakan pemberian tanah kepada syarikat swasta dan agensi kerajaan semata-mata walaupun tanah yang diserahkan itu sebenarnya telah dibangunkan penduduk kampung terlebih dahulu.

* Umpama mimpi menjadi kenyataan.

Selepas puluhan tahun, perjuangan masyarakat Murut di Kalabakan untuk menuntut hak milik tanah, akhirnya selesai.

242 geran individu membabitkan tanah berkeluasan 331 hektar diserahkan Ketua Menteri kepada penduduk Kampung Ulu Murut, Kalabakan dalam satu majlis di Tawau, semalam.

* Di sebalik semuanya itu, terdapat usaha pihak tertentu menghalang Ketua Anak Negeri dan pemimpin di peringkat kampung hadir ke Majlis Penyerahan Lot Penempatan Mangsa Kebakaran Kampung Tanjung Batu Otentik dan Geran Tanah Di Daerah Tawau dan Kalabakan, di Dewan Masyarakat Tawau, semalam.

Perkara itu didedahkan oleh Ketua Anak Negeri N60 Pulau Sebatik, Mohd Ikit.

Tambah Mohd Ikit, dia turut mendapat arahan dari pihak sama yang melarang mereka hadir ke majlis perjumpaan bersama Ketua Bahagian Warisan Kalabakan dan ADUN Merotai, Sarifuddin Hatta, hari ini.

Bagi Sarifuddin, tindakan pihak berkaitan termasuk melakukan ugutan terhadap pemimpin kampung adalah tidak wajar.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kalabakan Ma’mun Sulaiman berkata, pihaknya kecewa sikap pemimpin berkenaan yang disifatkan lebih mementingkan diri dan kedudukan berbanding pembangunan di Pulau Sebatik.

* Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Jannie Lasimbang menafikan dakwaan Yong Teck Lee kononnya kontrak bagi pembinaan Empangan Papar telah diberikan kepada sebuah syarikat dari China menerusi inisiatif pembiayaan swasta.

Beliau berkata, kerajaan Sabah belum melantik kontraktor bagi pembinaan empangan Papar, malah, laporan impak penilaian alam sekitar, EIA pun belum lagi dilaksanakan.

Katanya, kerajaan Sabah juga berpendapat sekiranya pembinaan empangan perlu dilaksanakan, ia harus mengambil kira pandangan komuniti dan mempunyai laporan EIA.

Dalam kenyataannya sebelum ini, Yong Teck Lee mendakwa kerajaan Pakatan Harapan mendedahkan bahawa kerajaan Warisan telah melantik sebuah syarikat China untuk melaksana pembinaan Empangan Papar dengan nilai kontrak RM3 bilion.

* Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata beliau sudah berusaha sebaiknya untuk membantu pembangunan kawasan Dewan Undangan Negeri Kadamaian dalam tempoh dua tahun lalu.

Usaha tersebut termasuk memperkasakan tadbir urus adat dan tanah serta pembangunan keagamaan di Kadamaian.

Selaku Ahli Jemaah Menteri juga, beliau turut mengangkat beberapa isu tanah yang belum diselesaikan di peringkat daerah ke mesyuarat Jemaah Menteri. Antaranya permohonan penduduk untuk menukar status warta Tanah Simpanan Kayu Api atau Fire Wood Reseve kepada Tanah Simpanan Kampung.

Dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang terakhir sebelum DUN dibubarkan, beliau telah mengangkat isu berkenaan pewartaan Hutan Simpan Wariu yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu agar dapat dikembalikan kepada penduduk di Mukim Melangkap dan kampung-kampung sekitar.

* Cadangan penggunaan IMM13 sebagai dokumen tunggal pelarian dan warga asing di Sabah sedang diperhalusi Kerajaan Persekutuan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tiada tempoh masa ditetapkan untuk mengkaji keperluan menyeragamkan dokumen berkenaan.

Sebelum ini dalam persidangan Dewan Rakyat, Hamzah dipetik berkata, cadangan menggunakan dokumen tunggal IMM13 bagi menggantikan Kad Burung Burung dan Sijil Banci yang dimiliki warga asing di Sabah akan diteliti Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah.

9th. August 2020.