Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 9 Mei 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Beberapa lagi sektor ekonomi dibenarkan beroperasi oleh Kerajaan Sabah mulai hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal dalam satu kenyataan hari ini berkata sektor yang dibenarkan beroperasi adalah peruncitan, makanan dan pengangkutan awam.

Kerajaan negeri juga membenarkan aktiviti rekreasi dan riadah kesihatan di taman-taman awam.

Pelaksanaan semua aktiviti dalam sektor peruncitan dan makanan serta riadah hendaklah mematuhi prosedur operasi standard, SOP Kementerian Kesihatan dan peraturan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan.

Antara yang dibenarkan beroperasi bagi sektor peruncitan dan makanan ialah kompleks membeli belah, pasar raya dan pasar raya besar.

* Persatuan Wartawan Sabah, SJA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Sabah atas pemberian bantuan kewangan khas untuk wartawan di negeri ini yang bertugas di barisan hadapan membuat liputan COVID-19.

Presiden SJA Datuk Muguntan Vanar berkata keprihatinan Ketua Menteri amat dihargai dalam mempertimbangkan permintaan SJA untuk membantu wartawan barisan hadapan yang membuat liputan pandemik itu.

Lebih 200 wartawan di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan mula menerima bantuan kewangan berkenaan sejak semalam.

* Kesukaran hidup penduduk pedalaman di Kampung Sinakut, Tungku, Lahad Datu yang majoritinya nelayan, akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan PKP, mendapat perhatian

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Pos Maritim Felda Sahabat yang menyampaikan sumbangan kepada 20 keluarga di kampung itu, kelmarin.

* Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB secara berperingkat di Sabah adalah untuk memastikan kerajaan negeri dapat menentukan langkah-langkah pencegahan sebaik mungkin demi keselamatan rakyat.

Setiausaha Agung Parti Warisan Sabah, Datuk Loretto Padua Jr. berkata, pendekatan berhati-hati itu bukan bermaksud Ketua Menteri melakukan pusingan U dalam membuat keputusan, sebaliknya beliau mengambil langkah bijak dan tidak terburu-buru.

Sehubungan itu, Datuk Loretto membidas kenyataan Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah, PBS, Datuk Joniston Bangkuai yang mendakwa Datuk Seri Mohd. Shafie tidak konsisten dalam membuat keputusan.

Katanya, Datuk Joniston Bangkuai mungkin kekurangan idea untuk mempertahankan keputusan Kerajaan Pusat berhubung pelaksanaan PKPB.

Tegas Datuk Loretto, isu itu tidak perlu dipolitikkan kerana Ketua Menteri telah memberi penerangan bahawa kerajaan negeri memandang serius aspek keselamatan serta kesihatan rakyat Sabah lebih daripada ekonomi.

Kerajaan negeri perlu meneliti dan mengkaji sedalam-dalamnya sebelum melaksanakan PKPB dan tiada istilah “U-turn” ketika membuat keputusan.

* UPKO menyatakan rasa kesal dengan pemimpin pembangkang di Sabah yang kelihatan begitu cenderung menangguk di air yang keruh.

Ketua Penerangan UPKO, Albert Bingkasan berkata pandemik coronavirus, COVID-19 yang menjangkiti lebih empat juta orang, dan menyebabkan hampir 300 ribu kehilangan nyawa di seluruh dunia adalah amat serius.

Sehubungan itu katanya kenyataan Ketua Penerangan PBS,  Datuk Joniston Bangkuai, yang memperlekehkan keputusan Sabah yang pada awalnya tidak melaksanakan PKPB, adalah satu publisiti murahan yang sangat tidak kena pada tempatnya dalam saat-saat genting sebegini.

Tegas Bingkasan, yang menjadi keutamaan ketika ini ialah menyelamatkan nyawa, keselamatan dan kesihatan rakyat Sabah manakala ekonomi yang sudah pun merudum, boleh dibangunkan kembali.

Bingkasan menjemput Joniston dengan segala kepakaran beliau untuk membuat satu lagi kenyataan akhbar membidas juga lapan lagi negeri yang enggan melaksanakan PKPB.

* Kehadiran pesawat kargo kedua terbesar dunia, Antonov An-124-100 buatan Ukraine seberat 181 tan, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, KKIA mengujakan warga bandar raya ini.

Pesawat sepanjang 69.1 meter dengan ketinggian 21.1 meter bersamaan bangunan setinggi 7 tingkat dan mempunyai 24 roda pendaratan ini dilaporkan membawa muatan dron

dari Amerika Syarikat.

Menurut sumber online, Malaysia menerima 12 unit pesawat tanpa pemandu atau UAV Insitu ScanEagle 2 dari Amerika Syarikat.

Pesawat 4 enjin ini mampu membawa muatan seberat 150 tan dengan kelajuan maksimum 865 kilometer sejam.

Dengan sayap sepanjang 73.3 meter, tangki minyaknya mempunyai kapasiti sehingga 350,000 liter.

Hanya terdapat 55 pesawat Antonov An-124-100 di dunia.

Peminat penerbangan di sekitar Kota Kinabalu, tidak melepaskan peluang melihat dengan lebih dekat pesawat gergasi ini yang berlepas dari KKIA petang tadi.

Kali terakhir pesawat Antonov An-124 ke Kota Kinabalu adalah pada September 2018 dengan kedatangan sebelum itu pada 2014.

Harga seunit pesawat ini lebih RM400 juta.