Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 8th August 2020

Bersama Hikma Juni.

* Satu persatu kampung dan tanah yang telah diterokai penduduk sejak puluhan tahun lalu tetapi bertukar menjadi ‘setinggan’ kerana diambil oleh kerajaan semasa zaman pemerintahan terdahulu dikembalikan kepada rakyat yang berhak.

Terbaharu hari ini, selepas hampir 30 tahun menanti, masyarakat di lima buah kampung di Tawau dan sebuah kampung di Kalabakan turut menerima manfaat daripada dasar kerajaan itu apabila menerima geran tanah masing-masing.

Semua 318 geran dengan keluasan tanah 427 hektar itu diserahkan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal kepada wakil penerima dalam majlis penyerahan geran tanah di Tawau, hari ini.

Datuk Seri Mohd. Shafie berkata, geran tanah itu adalah hak rakyat yang dituntut daripada kerajaan memandangkan tanah-tanah terlibat telah diterokai sejak puluhan tahun lalu, namun diambil oleh kerajaan terdahulu melalui agensi.

Laporannya bersama Ardyhanshah Amat di Tawau.

* Terima Kasih Datuk Seri Mohd Shafie, terus kekal memimpin Sabah.

Itu luahan kesyukuran penerima geran tanah yang kami temui di Tawau.

Bagi mereka, kehadiran Datuk Seri Mohd Shafie adalah satu rahmat buat penduduk yang sudah berpuluh tahun menunggu geran hak milik tanah.

* Sementara itu, sebanyak 90,000 permohonan pemilikan tanah di seluruh negeri sedang dalam proses penelitian Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, JTU kata pengarahnya Bernard Liew.

Katanya, jumlah itu terdiri daripada pelbagai kategori permohonan termasuk Geran Tanah Anak Negeri, NT.

Proses itu mengambil masa untuk diselesaikan kerana JTU perlu membuat siasatan terperinci termasuk turun ke lokasi bagi mengetahui pihak yang berhak ke atas tanah berkaitan.

Ada juga kes berlaku pertindihan permohonan membabitkan beberapa pihak.

* Tuduhan kononnya Datuk Seri Mohd. Shafie menyogok Yang Dipertua Negeri Sabah untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah adalah fitnah dan cubaan menghasut.

Ketua Menteri berkata, Peguam Besar Sabah, Brandon Keith Soh berada bersamanya ketika memberikan cadangan mengikut Perlembagaan kepada Tun Juhar Mahiruddin.

Tegasnya, tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu yang mengeluarkan fitnah berkenaan.

* Ketua Menteri berkata lapan daripada sembilan syarikat cari gali minyak yang beroperasi di Sabah telah membayar lima peratus cukai jualan produk petroleum kepada kerajaan negeri sejak beberapa bulan lalu, kecuali Petronas.

Kesemua syarikat itu perlu membayar cukai yang dituntut mengikut Seksyen 10 (10) Enakmen Cukai Jualan Negeri 1998 dan menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 31 Enakmen sama.

Datuk Seri Mohd. Shafie berkata, pihaknya akan terus berunding dengan Petronas untuk memastikan cukai itu dibayar.

* Datuk Seri Mohd. Shafie sekali lagi mengingatkan semua pihak untuk tidak memandang ringan penularan kes Covid-19 yang masih berlanjutan di negeri ini.

Mengulas mengenai kes positif Covid-19 yang dikesan dari Filipina semalam, beliau berkata, meskipun jumlahnya kecil, jangkitan import itu perlu ditadbir urus dengan baik.

* Ketika ditemuramah dalam segmen ‘Breakfast Grille’ radio BFM, semalam, Datuk Seri Mohd Shafie berkata Parti Warisan Sabah akan memberi fokus kepada pembangunan ekonomi melalui ‘Sabah New Deal’ dalam kempen Pilihan Raya Negeri, PRN Sabah kali ini.

Katanya, Sabah New Deal dijadikan sebagai asas kepada manifesto Warisan dalam PRN Sabah.

Pakej pemulihan ekonomi ‘Sabah New Deal’ yang diumumkan Jun lalu akan ditambah baik bagi membantu Sabah mucul sebagai negeri yang berdaya saing.

Pakej Sabah New Deal dilancarkan 18 Jun lalu dengan peruntukan RM240 juta bagi menyuburkan kembali ekonomi Sabah yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

* Dalam temuramah dengan radio BFM itu, Datuk Seri Mohd Shafie sekali lagi melahirkan kelegaan dengan kepercayaan yang diletakkan terhadapnya oleh ADUN Warisan yang tidak berpaling tadah untuk meninggalkan parti.

Presiden Warisan ini berkata, di sebalik godaan dan ugutan yang diterima, tidak ada seorang pun ADUN Warisan yang asal, mengkhianati parti dan membelakangkan mandat rakyat.

Datuk Seri Mohd Shafie juga menegaskan terdapat keperluan untuk negeri ini merangka undang-undang yang dapat mencegah tindakan wakil rakyat melompat parti.

* Sekiranya keputusan Yang Dipertua Negeri Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah adalah betul, maka ia harus diterima dengan sebaiknya oleh semua pihak kata Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Mengenai surat akuan sumpah atau SD 33 ADUN terhadap Tan Sri Musa Aman yang dikatakan tidak diterima oleh Tun Juhar Mahiruddin, Hamzah berkata perkara berkaitan politik sebegini boleh menjadi spekulasi untuk sesiapa sahaja bercakap dan berbincang mengenainya.

Ditanya mengenai kehadirannya menemui Tun Juhar di Istana Negeri Kota KInabalu, Menteri Dalam Negeri itu berkata, tidak salah baginya berjumpa sahabat lama yang sudah dikenali sejak 90an.

Katanya, memang dalam perjumpaan itu mereka ada berbincang mengenai masa depan Sabah namun, biarlah apa yang dibincangkan itu cukup diketahui oleh mereka berdua sahaja.

8th. August 2020.