Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 8th April 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Rakyat Sabah yang  bekerja di Semenanjung Malaysia dan tergolong dalam kategori B40 boleh menghubungi Pejabat Perhubungan Negeri Sabah bagi mendapatkan bantuan Covid-19.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal berkata, sukar untuk mengesan keberadaan rakyat Sabah yang bekerja di Semenanjung Malaysia kerana ada kalanya mereka berpindah tempat kerja.

Sehingga kini, sejumlah RM9 juta bantuan telah disampaikan kepada rakyat dan pelajar Sabah yang berada di Semenanjung Malaysia.

* Bantuan yang diberikan kerajaan Sabah melalui Pakej Bantuan Covid-19 Sabah yang diumumkan 25 Mac lalu, telah diserahkan kepada sebahagian besar penerima atau golongan sasar.

Ketua Menteri, berkata beliau amat berpuas hati dengan pelaksanaan pakej bantuan tersebut.

Katanya arahan telah dikeluarkan kepada Pusat Arahan Covid-19 Sabah untuk terus memantau pemberian setiap bantuan berkenaan.

Seramai 63,092 individu dalam kategori terdedah atau vulnerable di seluruh Sabah, sudah menerima Bantuan Khas COVID-19 yang dibayar secara “one off” sebanyak RM300 seorang, membabitkan agihan peruntukan berjumlah hampir RM19 juta.

Ketua Menteri berkata setakat semalam, bantuan telah disampaikan untuk  penerima bantuan am terdiri  anak yatim, orang tua, kanak-kanak, orang kurang upaya dan pesakit kronik, penerima elaun pekerja cacat dan penerima bantuan OKU tidak upaya kerja melibatkan keseluruhan seramai 63, 092 orang dengan jumlah bantuan RM18, 927,600.

* Kerajaan Sabah menerusi Tabung Bencana Negeri menerima sejumlah RM5.85 juta daripada syarikat berkaitan kerajaan, hari ini untuk dimanfaatkan bagi mengurangkan bebanan keperluan barisan hadapan serta membantu golongan yang memerlukan.

Antara syarikat tersebut adalah Sabah Energy Corporation ; Asian Supply Base; Rahnill Powertron; Koperasi Pembangunan Desa, Warisan Harta dan dua anak syarikat Kumpulan Yayasan Sabah iaitu Benta Wawasan  dan Sabah Softwood.

* Kerajaan Sabah akan melakukan penelitian minggu ini sebelum memberikan kebenaran kepada kilang dan ladang-ladang kelapa sawit yang memenuhi syarat untuk beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, PKP.

Ketua Menteri mengulas saranan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi agar ladang dan kilang sawit di enam daerah di Sabah dibenarkan beroperasi.

* Jambatan yang terputus dan jalan rosak akibat banjir yang kini melanda Pensiangan antara contoh jelas dimana peruntukan RM200 juta dalam Pakej Bantuan Covid-19 Sabah boleh digunakan untuk membaiki kemudahan itu.

Ketua Menteri berkata menerusinya, kegunaan peruntukan bagi kemudahan infrastruktur yang dipertikaikan pihak tertentu kini dapat diperlihatkan secara jelas kepada rakyat.

Difahamkan banjir di Pensiangan antara yang terbesar sejak 39 tahun lalu.

Datuk Seri Mohd Shafie berkata, Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony telah bertolak ke Pensiangan bagi melihat keperluan di daerah itu agar rakyat Pensiangan dijaga dengan baik dan memastikan terdapat kemudahan penyelamat seperti bot.

* Pasukan keselamatan yang bertugas di barisan depan dalam mengekang penularan wabak Covid-19 bukanlah musuh kepada masyarakat sebaliknya adalah sahabat yang cuba membantu menyekat jangkitan virus berkenaan kata Panglima 5 Divisyen Infantri, Mejar Jeneral Datuk Hafizuddeain Jantan.

* Majlis Daerah Penampang hari ini melancarkan inisiatif pertamanya untuk memerangi wabak Covid-19 dengan menyediakan kabin pembasmian kuman mudah alih di pasar am Donggongon untuk digunakan pengunjung.

 *  Seorang lelaki, Alixson Mangundok, 34 tahun sanggup berjalan dari Kota Kinabalu ke Kampung Mangaris 2, Kota Marudu sejauh lebih 100 kilometer selama tiga hari ditemani seekor anjing, Cico, sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengkuarantinkan diri kerana baru pulang dari Jepun dan khuatir dirinya berdepan risiko dijangkiti Covid-19.

Kisah luar biasa Alixson mengharungi perjalanan getir itu sehingga akhirnya tiba ke destinasinya, tular di laman media sosial.

* Komander Pasukan Polis Marin, PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata pihaknya tetap memperkasa perundangan laut sedia ada berikutan pengumuman Kerajaan Pusat yang membenarkan aktiviti sektor perikanan termasuk nelayan dan pengangkutan bekalan bahan mentah perikanan

sepanjang pelaksanaan PKP.

Tegasnya jika nelayan keluar menangkap ikan tanpa lesen perikanan, ia tetap dianggap melanggar peraturan sedia ada kerana  mereka tidak tertakluk kepada pelepasan yang diberikan kerajaan, sebaliknya tertakluk kepada PKP dan boleh dikenakan tindakan perundangan.

* Mahkamah Tinggi Tawau hari ini mengekalkan hukuman denda sebanyak RM1,000 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Lahad Datu pada 31 Mac lalu ke atas dua beradik Ng Khim Weng, 50, dan Ng Kim Chiah, 47  atas kesalahan mengingkari PKP dengan membuka premis perkakasan logam di Pusat Industri Dam, Lahad Datu, pada 28 Mac lalu.

Bagaimanapun, dua beradik itu dibebaskan daripada hukuman penjara hari ini setelah Hakim Dr Alwi Abdul Wahab mengurangkan hukuman penjara kepada 8 hari bermula 31 Mac lalu, berbanding 2 bulan sebelum ini, selepas menerima rayuan mereka.

* Ketika kebanyakan dari kita, duduk di rumah mematuhi PKP, lain pula ceritanya bagi seorang lelaki yang keluar rumah mencari sasaran untuk  melakukan jenayah.

Lelaki berusia 21 tahun itu bertindak memecahkan pintu dan dinding kaca sebuah restoran makanan segera di Plaza Juta, Likas dan melarikan telefon, televisyen, dua mesin juruwang dan sebuah motosikal bernilai RM 14,581.80 dari premis berkenaan.

Namun, belum sempat menjual kesemua barangan tersebut, suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan narkotik dan pencerobohan,  berjaya ditahan polis di rumahnya, di Kampung Bakau, Likas, pada 7.30 pagi, Ahad lalu kata Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji.