Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 8 Mei 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Kerajaan Sabah membenarkan sektor pembinaan dan penyelenggaraan serta sektor perhutanan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB, mulai hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal dalam kenyataan hari ini berkata aktiviti pembinaan yang dibenarkan beroperasi melibatkan kerja-kerja pembinaan bangunan, infrastruktur, kemudahan awam, lanskap dan lain-lain sektor pembinaan.

Aktiviti penyelenggaraan yang dibenarkan beroperasi meliputi aktiviti seperti pembaikan dan pemuliharaan infrastruktur, bangunan, kemudahan awam, lanskap, pemotongan rumput, loji, janakuasa, pembersihan parit, longkang, bangunan; pembentungan, saluran paip air, serta pengairan dan saliran.

Aktiviti berkaitan dengan rangkaian dan perkhidmatan sokongan kepada sektor pembinaan dan penyelenggaraan yang meliputi aktiviti kuari batu dan pasir, kilang simen dan klinker, pemotongan bukit dan penimbusan tanah, kedai ‘hardware’, pengangkutan bahan binaan dan sebagainya turut dibenarkan beroperasi.

* Projek Tanaman Padi Terusan Sapi dengan keluasan 1,600 hektar diteruskan semula di bawah Pelan Tindakan Pembangunan Pertanian Sabah bagi menampung keperluan beras di negeri ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong berkata, projek padi fasa pertama itu telah pun bermula untuk menghasilkan 15,000 tan padi setiap tahun.

Menurut Datuk Junz, sawah padi seluas 600 ekar akan dituai minggu depan.

Bagaimanapun untuk meningkatkan hasil pengeluaran padi, kerja-kerja menaik taraf infrastruktur yang usang perlu dilakukan untuk melancarkan aliran masuk dan aliran keluar bekalan air ke ladang padi itu.

* Perusahaan kecil dan sederhana mikro,  PKS mikro di Sabah khususnya di luar bandar digesa mendaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri, LHDN sebelum 15 Mei ini bagi mendapatkan

Geran Khas Prihatin, GKP sebanyak  RM 3,000.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, setakat ini bilangan syarikat PKS mikro yang berdaftar dengan LHDN di Sabah masih terlalu rendah iaitu 22, 940 syarikat bersamaan tiga peratus daripada 700,000 PKS mikro negara.

Beliau percaya masih banyak PKS mikro belum tampil mendaftar bagi membolehkan mereka memperoleh faedah ini.

Pendaftaran boleh di buat secara atas talian dengan melayari laman web https://gkp.hasil.gov.my/ berdasarkan syarat yang terkandung didalamnya.

* Inisiatif individu dan syarikat korporat di negeri ini dalam membantu Kerajaan Sabah menyampaikan sumbangan kepada golongan memerlukan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, PKP sejak 18 Mac lalu menggambarkan semangat kekeluargaan yang utuh dalam kalangan masyarakat Sabah.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Junz Wong berkata, melalui sikap murni tersebut, pihaknya yakin apa juga masalah yang berlaku ketika ini, mampu diatasi bersama.

Katanya, semangat camaraderie atau persahabatan ini perlu diteruskan dari semasa ke semasa bagi membolehkan masyarakat menempuh setiap kesulitan yang berlaku.

* Petroliam Nasional Berhad, Petronas bersetuju akan menarik balik rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Sarawak mengenai permohonan semakan kehakiman pada 13 Mac lalu selepas mencapai kata sepakat bersama Kerajaan Sarawak dalam perundingan mengenai urusan minyak dan gas serta cukai jualan ke atas produk petroleum di negeri itu.

Kerajaan Sarawak juga akan menggugurkan kesemua tuntutan di dalam kes sivil terhadap Petronas untuk bayaran cukai jualan ke atas produk petroleum.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan petang ini, kedua-dua pihak telah bersetuju bahawa pendekatan yang terbaik dalam mencapai penyelesaian bersama ialah melalui penyelesaian komersial.

Susulan penarikan balik semua tatacara perundangan, Petronas melalui anak-anak syarikatnya yang terlibat akan membuat bayaran penuh ke atas cukai jualan yang dikenakan oleh Kerajaan Sarawak bagi produk petroleum untuk tahun 2019 berjumlah RM2 bilion iaitu pada kadar 5% daripada nilai jualan produk tersebut.

Kerajaan  Sarawak dan Petronas seterusnya bersetuju bahawa cukai jualan ke atas produk petroleum yang diperuntukkan di bawah cukai jualan negeri dikenakan pada kadar yang lebih rendah secara bertempoh berdasarkan rundingan yang akan diadakan kelak.

* Pasukan Gerakan Am, PGA menahan enam warga Filipina yang dipercayai menyeludup masuk ke negeri ini melalui jalan tikus di Jalan Monsok, Beluran, semalam.

Tangkapan itu dibuat Batalion 20 PGA Beluran susulan penahanan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang melalui jalan itu, pada jam 9.50 pagi.