Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 8 Januari 2021

Bersama Reetasha Joanes Mijol.

* Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman khas Isnin ini bagi memaklumkan tindakan-tindakan yang diambil kerajaan dengan mengambil kira situasi semasa penularan jangkitan Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sentiasa memantau situasi semasa penularan dan membincangkan pendekatan serta langkah terbaik bagi mengawal penularan pandemik itu.

Menurutnya, kerajaan melalui sidang khas Majlis Keselamatan Negara MKN, sedang memperhalusi dan menilai tindakan-tindakan yang perlu diambil segera untuk mengawal jangkitan Covid-19.

Selepas mencatatkan peningkatan selama tiga hari berturut-turut, kes positif baharu Covid-19 di Sabah menurun dengan 401 kes dilaporkan hari ini berbanding 493 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kini 39, 854 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata empat kes kematian dan satu kluster baharu dilaporkan di Sabah hari ini.

Dua kes kematian dilaporkan di Kota Kinabalu dan dua lagi dilaporkan di Sandakan.

Satu kluster baharu yang dilaporkan ialah Kluster Kauran di Keningau dengan 55 kes kumulatif setakat ini.

* Sarawak akan mengguna pakai Ordinan Kesihatan Awam Negeri untuk mendedahkan kawasan yang pernah dikunjungi oleh individu yang dijangkiti Covid-19.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian berkata langkah itu yang bermula semalam bukan bertujuan menakutkan orang awam.

Sebaliknya, ia bagi menunjukkan kerajaan negeri serius dan komited dalam membendung penularan wabak Covid-19.

Katanya Ordinan itu akan diguna pakai oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak untuk mendedahkan lokasi, masa dan tarikh kunjungan individu positif Covid-19 di negeri itu.

Menerusi langkah itu, rakyat Sarawak akan lebih berhati-hati dan akan membuat saringan secara sukarela jika pernah berkunjung ke lokasi yang sama dengan individu kes positif.

Ini akan membolehkan proses pengesanan kontak dan membendung penyebaran wabak dilakukan dengan lebih pantas.

* Kementerian Kesihatan Malaysia akan menanggung sepenuhnya kos saringan ujian COVID-19 bagi guru, pensyarah dan anggota keluarga mereka yang akan pulang ke Sabah dan Sarawak bagi memulakan tugas.

Mengumumkan perkara itu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kos kuarantin bagi mereka yang pulang ke Sarawak pula akan ditanggung oleh kerajaan negeri sepenuhnya.

* Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Matunggong, Datuk Julita Majungki berkata kajian penuh untuk menaik taraf Matunggong dari daerah kecil kepada daerah penuh akan dimulakan dalam masa terdekat.

Katanya, hasil kajian itu akan dibentangkan kepada kabinet untuk kelulusan.

* Sekumpulan penyelam berdepan detik mengujakan apabila buat pertama kalinya berpeluang menyaksikan ikan paus orca atau paus pembunuh berhampiran Sipadan, Ahad lalu.

* Perkembangan banjir di Beaufort.

Pusat Pemindahan Sementara, PPS, Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir yang dibuka sejak 6 Januari lalu, ditutup 12 tengahari tadi.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, PPS itu ditutup setelah kesemua 35 mangsa banjir daripada 13 keluarga dari Kampung Bakalau dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah banjir semakin surut.

Bagaimanapun 49 kampung masih terjejas banjir namun, ketika ini trend air banjir menunjukkan penurunan.

Sementara itu, sebanyak 1, 136 bakul makanan telah diagihkan kepada 15 kampung di sekitar Lumadan yang terjejas akibat banjir.

ADUN Lumadan, Ruslan Muharam berkata, sumbangan berkenaan adalah bantuan peribadi dalam membantu meringankan bebanan mangsa banjir.

Ruslan turut berkesempatan untuk turun padang meninjau keadaan banjir di Beaufort.

8th January 2021.