Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 7th July 2020

Bersama Beverly Anastacia Lim.

* Potensi ekonomi Sabah terus mendapat kepercayaan daripada syarikat antarabangsa selepas institusi kewangan Jepun, Mizuho Bank menyatakan hasrat bekerjasama dengan Sabah Development Bank untuk membantu menarik pelabur dari negara matahari terbit itu melabur di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Mizuho Bank (Malaysia) Berhad, Shojiro Mizoguchi berkata, kerjasama tersebut membolehkan Mizuho Bank menjadi pemudah cara dengan membawa masuk pelabur dari Jepun ke Sabah dan menyediakan kemudahan kredit kepada mereka.

Katanya, hasrat berkenaan telah disampaikan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal ketika melakukan kunjungan hormat di pejabat beliau di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah pagi tadi.

Shojiro berkata, Mizuho Bank telah beroperasi di Malaysia selama 30 tahun, namun ini adalah kali pertama institusi kewangan itu merancang untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan memilih Sabah sebagai lokasi utama.

Katanya, Mizuho Bank boleh menjadi jambatan kepada syarikat-syarikat dari Jepun yang mahu melabur ke Sabah untuk memanfaatkan sumber alam yang kaya di negeri ini.

* Penyelesaian masalah banjir kilat di Sabah memerlukan peruntukan sebanyak RM3 bilion.

Namun sejak Rancangan Malaysia Ke-7 sehingga ke-11, Sabah hanya menerima peruntukan sebanyak RM511 juta sahaja kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong.

Menurutnya, di Penampang sahaja, projek mitigasi banjir memerlukan peruntukan RM600 juta.

Katanya Kerajaan Pusat harus menyalurkan peruntukan sewajarnya untuk membantu rakyat di Sabah agar bebas daripada masalah banjir.

Pada masa sama, satu garis panduan mengawal pembangunan perlu diwujudkan bagi mengurangkan kejadian banjir kilat di Sabah.

Junz berkata, antara pembangunan yang tidak dirancang dengan baik adalah lebuh raya Pan Borneo, pembukaan kawasan baharu khususnya di lereng-lereng bukit untuk tujuan pertanian padi bukit dan sebagainya.

* Perbadanan Produktiviti Malaysia MPC akan melaksanakan program penambahbaikan bagi membantu meningkatkan produktiviti sektor pelancongan di Sabah dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah MPC Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, kajian telah dilakukan bagi mengenalpasti punca yang mengganggu perkembangan industri pelancongan dan kajian kes telah dilakukan di Semporna.

* Usaha mencungkil bakat baharu bola sepak Sabah diteruskan menerusi penganjuran kejohanan Bola Sepak Piala Borneo KDM Malaysia 2020.

Penganjuran kejohanan itu juga mengembalikan semula kegemilangan Piala Borneo yang kali terakhir dianjurkan 32 tahun lalu, pada 1988.

Presiden SAFA, Datuk Peter Anthony berkata kejohanan ini akan membantu mencungkil bakat bolasepak terpendam di seluruh pelusuk Sabah untuk digilap sebagai pasukan pelapis untuk membawa cabaran Sabah ke saingan bolasepak di peringkat kebangsaan dan antarabangsa kelak.

* Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, UPKO Bahagian Pensiangan masih kukuh kata Ketua Bahagiannya, Jubilin Kilan.

Sehubungan itu beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Parti Solidariti Tanah Airku, STAR kononnya UPKO di Pensiangan sudah lumpuh sedangkan hakikatnya bahagian itu masih utuh.

Menurut beliau, majoriti Ahli Jawatankuasa UPKO Pensiangan masih setia terhadap pucuk kepimpinan parti yang diterajui oleh Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

* Mesej tular di media sosial mengenai kluster Covid-19 di beberapa taman perumahan di Luyang yang tersebar sejak 4 Julai lalu sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai, adalah tidak benar kata pengarah Jabatan Kesihatan Sabah, Datuk Dr. Christina Rundi.

Mesej palsu itu mendakwa antara kawasan yang mempunyai kluster Covid-19 adalah di Jalan Fung Yih Ting; Taman Seri Manis Ph 2, Public Deluxe Villa; Jalan Damai; Setinggan Jalan Keramat; The Bay Residence dan Jalan Fu Yen Ting.

* Pasukan Gerakan Am, PGA berjaya merampas 239,700 bungkus rokok kretek bernilai RM3.4 juta selepas cukai dalam Ops Benteng Covid di Jalan Sri Aman, Batu 3, Tawau, 4.30 pagi kelmarin.

Polis turut menahan seorang lelaki warga Filipina pemegang kad IMM13 berumur 38 tahun yang bertindak sebagai tonto dalam aktiviti penyeludupan berkenaan.

* Hari ini bermula Banci Penduduk dan Perumahan 2020.

Kita ikuti pesanan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal.

7th. July 2020