Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 7th August 2020

Bersama Beverly Anastacia Lim.

* Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menetapkan 17 Ogos ini bagi menentukan sama ada keputusan Yang DIpertua Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri, DUN Sabah, 30 Julai lalu, boleh dibicarakan di mahkamah atau tidak.

Pesuruhjaya Kehakiman, Leonard David Shim menetapkan tarikh itu bagi memutuskan untuk membenarkan atau menolak permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan membubarkan DUN Sabah.

Tarikh itu ditetapkan setelah Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pagi tadi, mendengar hujah peguam Tengku Fuad Tengku Ahmad yang mewakili bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, Peguam Besar Sabah, Brenndon Keith Soh serta Peguam Kanan Persekutuan Suzanah Atan dan Norkunavathy.

Semakan kehakiman itu difailkan oleh Musa bersama 32 ADUN lain yang mempertikaikan keputusan Tun Juhar Mahiruddin membubarkan DUN Sabah pada 30 Julai lalu dan memohon kebenaran mahkamah untuk semakan kehakiman.

* Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR akan mengadakan satu mesyuarat khas di Kota Kinabalu, 17 Ogos ini bagi menetapkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Negeri, PRN Sabah.

Mesyuarat khas tersebut akan dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom.

Antara yang akan dibincangkan adalah tarikh-tarikh penting PRN Sabah seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian serta daftar pemilih terakhir diperakui yang akan digunakan dan persiapan-persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

* Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin sudah membuat keputusan yang adil dengan menyerahkan semula kuasa kepada rakyat Sabah untuk memilih siapa yang mereka mahukan untuk memimpin negeri ini.

Ia sepatutnya diterima dengan hati terbuka oleh semua pihak termasuk kem bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman.

Malangnya, sikap tamak dan kemaruk kuasa untuk menjadikan Musa sebagai Ketua Menteri semula menyebabkan segelintir penyokongnya menjadi tidak tentu arah sehingga menjadikan Tuan Yang Terutama, TYT sebagai sasaran menerusi pelbagai tekanan berunsurkan politik.

Antaranya penghinaan di media sosial, semakan kehakiman dan laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM.

Bendahari Agung Parti Warisan Sabah Terrence Siambun berkata kerakusan dan kegilaan mereka untuk berkuasa di Sabah jelas terpampang bila mereka sanggup menggulingkan kerajaan negeri di pertengahan penggal dan tidak sanggup menunggu 34 bulan lagi dari sekarang.

Malah lebih teruk dari itu, mereka yang gilakan kuasa, langsung tidak mempedulikan ketika kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Bin Haji Apdal sedang berusaha untuk menangani wabak Covid-19, banjir dan kemelesetan ekonomi global.

* Seramai 795,437 atau 93.22 peratus kanak-kanak berusia 13 tahun ke bawah di Sabah telah menerima dos pertama vaksin Polio melalui Kempen Imunisasi Polio Sabah, sejak Disember tahun lalu sehingga kini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata statistik itu menunjukkan peningkatan 0.94 peratus atau 7,406 kanak-kanak yang menerima vaksin berkenaan dalam tempoh seminggu.

* Lebih 100 seratus artifak bakal dipamerkan di Muzium Tawau apabila ia dibuka kepada umum pada pertengahan bulan hadapan.

Presiden Majlis Perbandaran Tawau Datuk Ir Amrullah Kamal berkata, antaranya meriam, lampu rumah api dan tembikar termasuk sebahagiannya berusia lebih 100 tahun.

* Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Itu kisah pilu seorang suami, Nurhan Ayub, 27 apabila isteri tercinta, Dayana Damsah pergi buat selama-lamanya meskipun baru 10 hari bergelar raja sehari di Tawau.

Nurhan yang berada di Terengganu kerana tugas, tidak menyangka ungkapan Allahyarham Dayana “‘Last’ sudah tengok muka abang, biarlah kita sama-sama,” ketika menghantarnya di Lapangan Terbang Tawau, sehari sebelum kemalangan meragut nyawa guru itu berlaku, membawa seribu makna kepadanya.

Walaupun berat diterima, Nurhan tetap redha kerana hidup, jodoh dan mati itu sudah ditakdirkan.

“Alhamdulillah kerana Allah memberikan kebahagiaan yang tiada nilainya, ‘meminjamkan’ Dayana sebagai isteri kepada saya walaupun untuk 10 hari,” katanya,

* Akibat cuba mengelak dari melanggar seekor anjing, dua guru wanita cedera ringan selepas kenderaan pelbagai guna yang dinaiki, terbabas sebelum terbalik beberapa kali di Jalan Merotai-Bombalai, Tawau, 6 pagi tadi.

Kemalangan ini adalah kes kedua membabitkan guru di Jalan Merotai-Kalabakan dalam tempoh seminggu.

Kelmarin, dua guru wanita maut dan seorang parah selepas kenderaan mereka naiki terjunam ke dalam sungai di Kilometer 32 Jalan Tawau-Kalabakan.

7th. August 2020.