Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 7th April 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Kerajaan Sabah telah melaksanakan cukai jualan sebanyak 5% terhadap semua produk petroleum di negeri ini bermula bulan lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal berkata, pelaksanaan cukai berkenaan telah dibincangkan bersama Kerajaan Persekutuan semasa Tun Dr. Mahathir Mohamad masih menjadi Perdana Menteri.

Sementara itu, mengulas tentang rayuan pengusaha sektor perladangan di pantai timur yang meminta supaya mereka dibenarkan beroperasi, Ketua Menteri berkata, perkara itu akan diperincikan terlebih dahulu. Katanya, beliau sedar tentang aduan yang diterima, namun keselamatan dan kesihatan rakyat adalah lebih penting.

* Kerajaan Sabah sedang berusaha membawa balik lebih 120 rakyat negeri ini  yang terkandas di Nunukan, Kalimantan Utara, Indonesia.

Ketua Menteri berkata, proses membawa balik perlu mematuhi prosedur undang-undang serta kesemua mereka perlu menjalani kuarantin seperti diarahkan.

Pada masa yang sama, Datuk Seri Mohd Shafie berkata beberapa agensi seperti Jabatan Kerja Raya telah diarahkan untuk memastikan pusat kuarantin di Sabah dalam keadaan baik dan selesa.

Ketua Menteri juga tidak mahu ada diskriminasi antara yang kaya dan miskin bagi penempatan di pusat kuarantin.

* Sementara itu, Maritim Malaysia,Tawau dan Pasukan Polis Marin Tawau, mengiringi 83 rakyat Malaysia dan 15 warga Indonesia yang terkandas di Indonesia, memasuki Malaysia melalui perairan Tawau, pagi tadi. 98 individu berkenaan termasuk sembilan kanak-kanak, kini dikuarantin 14 hari di Institut Pendidikan Guru, IPG  Kampus Tawau.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar  Vengadasalam berkata sebuah bot ronda Maritim Malaysia dan sebuah bot Pasukan Polis Marin Tawau mengiringi perjalanan kesemua individu terbabit yang menaiki feri khas dari Nunukan, Indonesia.

*  Berkuatkuasa serta merta, aktiviti menjaja ikan di kawasan Kompleks Perikanan SAFMA Kota Kinabalu tidak dibenarkan. Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong, berkata Kerajaan Sabah mengambil maklum mengenai kesesakan yang berlaku di kompleks itu, setiap hari.

Dalam satu kenyataan hari ini, Datuk Safar berkata kerajaan negeri telah memutuskan kompleks perikanan itu hanya digunakan untuk tujuan pemunggahan ikan dan jualan borong sahaja. Semua aktiviti menjaja ikan dan hasil perikanan lain di kawasan kompleks tidak dibenarkan sepanjang tempoh fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan, PKP.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji yang meninjau Kompleks Perikanan SAFMA Kota Kinabalu siang tadi berkata kompleks berkenaan yang menjadi tempat pemunggahan ikan,  dibuka bermula 6 pagi hingga 6 petang hanya kepada nelayan dan pemborong besar.

*  Kesulitan dialami semua golongan di sepanjang tempoh PKP, terus dibantu pelbagai pihak yang prihatin. Di Teluk Sepanggar,  80 pekerja kontrak yang bertugas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia, TLDM Kota Kinabalu,  menerima sumbangan ikhlas daripada  TLDM.

Sumbangan berupa beras, gula, susu dan barangan keperluan asas lain disampaikan oleh Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Pahlawan Syed Zahrul Putra Syed Abdullah dan isteri, Datin Maria Kamarulzaman.

* 182, 300 orang telah menjalani saringan Covid-19 di Sabah sehingga semalam kata Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi. Daripada jumlah itu, sebanyak 10,054 sampel telah diambil. Untuk 5 April sahaja, 838 ujian Covid-19 dijalankan dan 18 daripadanya didapati positif iaitu 16 sampel ulangan dan dua sampel baharu.

* Pusat Khidmat Parlimen P170 Tuaran akan membekalkan benih tanaman bagi menggalakan penduduk bercucuk tanam di halaman rumah.

Ahli Parlimennya, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata tidak ada halangan untuk aktiviti penanaman sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan kerana  ia seiring dengan usaha memastikan bekalan makanan harian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan mencukupi di pasaran.

Datuk Seri Madius yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, untuk itu Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung MPKK akan diminta mengenal pasti jenis tanaman masing-masing dan mengemukakan senarai permohonan biji benih kepada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat, UPPM masing-masing untuk tindakan lanjut.

* Di Lahad Datu, dua lelaki tempatan berusia 36 dan 45 tahun bukan sahaja ditahan kerana mengingkari PKP di Laut Terumbu Gusung, kelmarin, malah mereka juga disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, selepas polis menemui dadah jenis syabu seberat 50 gram beserta 20 gulung kertas timah pada beg milik mereka.

* Penjenayah akan mencuri apa sahaja, asalkan mempunyai nilai dan boleh dijual.

Tidak terkecuali, bateri pencawang syarikat telekomunikasi seberat 50 kilogram yang dilarikan sekumpulan empat penjenayah diketuai seorang lelaki bernama Bobby yang bertanggung jawab di atas kehilangan 56 biji bateri di pencawang telekomunikasi sekitar Kota Kinabalu.

Namun belum sempat menikmati hasil curi itu, empat lelaki tempatan berusia antara 25 hingga 36 tahun berjaya ditahan bersama bateri pencawang telekomunikasi, di rumah masing-masing termasuk dua di Telipok Ria, Tuaran pada 5 April dan semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM 125,000 termasuk dua buah kenderaan yang digunakan untuk melakukan jenayah tersebut.

Kesemua 56 biji bateri itu berjaya dirampas. Bateri berkenaan digunakan sebagai alat sokongan jika berlaku gangguan bekalan elektrik.

(Visited 1 times, 1 visits today)