Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 7 November 2020

Bersama Hikma Juni.

* Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB di seluruh negeri Sabah yang sepatutnya berakhir 9 November ini, dilanjutkan 28 hari lagi sehingga 6 Disember ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pengumuman lanjut berhubung prosedur operasi standard, SOP dan langkah kawalan semasa di Sabah, akan dibuat selepas sidang khas Majlis Keselamatan Negara, MKN Isnin ini.

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, PKPD di Taman Semarak dan Program Perumahan Rakyat, PPR Sri Balung, Tawau sejak 26 Oktober lalu akan ditamatkan esok sebagaimana dijadualkan.

Sabah mencatatkan 3 kes kematian, 616 kes positif baharu dan 1 kluster baharu Covid-19 iaitu Kluster Softwood di Lahad Datu, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kesemua kes kematian itu dilaporkan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Pesakit membabitkan seorang lelaki dan dua wanita berusia antara 51 tahun hingga 62 tahun yang mempunyai sejarah penyakit kronik.

Jumlah kumulatif kes kematian di Sabah kini 147 kes.

Hari ini, 1029 pesakit di seluruh negara telah pulih dari jangkitan Covid-19 termasuk 780 di Sabah, jumlah kes sembuh tertinggi yang dilaporkan setakat ini.

* Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata daripada 616 kes positif baharu di Sabah hari ini, 214 kes atau 34.7% adalah daripada Kluster Pusat Tahanan Sementara Tawau, Kluster Penjara Sandakan dan Kluster Penjara Kepayan.

Kluster baharu yang dilaporkan di Sabah hari ini, Kluster Softwood di Lahad Datu mencatatkan 14 kes positif baharu.

Hari ini juga, daerah Kota Marudu telah bertukar dari zon jingga ke zon merah manakala daerah Ranau bertukar dari zon jingga ke zon kuning.

Jumlah kumulatif kes Covid-19 di Sabah kini 19,898 kes.

780 pesakit telah sembuh dan dibenarkan pulang hari ini manakala 3,233 pesakit masih menerima rawatan di hospital serta pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah, PKRC di seluruh Sabah.

Sehingga hari ini, sebanyak 146, 067 bakul makanan telah diagihkan.

* Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Ruddy Awah menyifatkan Belanjawan 2021 sebagai ‘pengubat’ kesakitan rakyat yang kini berdepan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, belanjawan bertemakan ‘Teguh Kita, Menang Bersama’ bukan hanya memberi fokus menangani pandemik, namun turut memberi perhatian kepada pembangunan asas, terutamanya di luar bandar.

Ruddy berharap usaha kerajaan meneruskan inisiatif mengurangkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar bernilai RM2.7 billion yang dibentangkan akan memberikan manfaat kepada negeri Sabah yang ketinggalan dari segi prasarana.

* Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah, ESSCOM berjaya merampas 12,200 bungkus rokok seludup pelbagai jenama, dianggarkan bernilai RM 152,288 di Kampung Titingan, Tawau, semalam.

7th November 2020.