Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 7 Mei 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Kerajaan tidak akan mengulangi kesilapan pemerintahan terdahulu dalam membangunkan daerah Kota Belud sebagai jelapang padi yang menelan perbelanjaan sehingga hampir RM400 juta, namun gagal mencapai sasaran apabila hasil padi yang dikeluarkan tidak seberapa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal berkata berikutan itu, Lembaga Padi Sabah akan diwujudkan semula bagi mentadbir urus penanaman padi di seluruh negeri secara lebih teratur dan bersistematik untuk meningkatkan pengeluaran dan menjana pendapatan kepada kerajaan serta rakyat.

Tegasnya, projek penanaman padi di Kota Belud perlu dilihat kembali selepas ini untuk mencari pendekatan baharu yang boleh diaplikasikan bagi memastikan pengeluaran padi di daerah itu meningkat, selari dengan potensinya.

Datuk Seri Mohd. Shafie berkata, daripada segi dasar, Kerajaan Sabah telah memperuntukkan sebanyak RM5 juta tahun lalu untuk memberi sokongan kewangan kepada golongan penanam padi termasuk padi bukit bagi meningkatkan pengeluaran mereka untuk menjana pendapatan lebih.

Katanya, kerajaan melalui Pelan Tindakan Pertanian Sabah 2021-2030 juga akan memastikan keseluruhan sektor pertanian negeri serta penanam padi dapat dibantu daripada segi kualiti, peningkatan hasil serta pemasaran.

* Ketua Menteri  memberi jaminan bekalan makanan terutama beras di negeri ini masih cukup untuk tempoh lima bulan sekiranya wabak Covid-19 berlarutan dan beras tidak dapat diimport dari negara-negara pengeluar.

Datuk Seri Mohd. Shafie berkata, jika keadaan berlarutan, stok beras yang di simpan oleh Sabaras, sebuah agensi di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah, SLDB mencukupi dan boleh diagihkan kepada rakyat tanpa perlu bergantung kepada agensi lain.

Katanya, situasi yang berlaku ketika ini memberi pengajaran kepada kerajaan untuk memastikan Sabah sentiasa mempunyai bekalan makanan yang cukup termasuk beras jika senario jangkitan wabak sekarang berulang pada masa depan.

* Kerajaan Sabah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, PKP fasa kelima secara berperingkat bermula hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal berkata pelaksanaan  PKP fasa kelima itu tertakluk kepada prosedur operasi standard, SOP Kementerian Kesihatan.

Susulan pelaksanaan itu, beberapa sektor akan dibenarkan beroperasi.

Ketua Menteri berkata untuk peringkat permulaan ini, sektor dibenarkan beroperasi adalah pertanian dan industri makanan serta rangkaiannya; perkilangan dan pembuatan serta rangkaiannya dan operasi logistik seperti pengangkutan darat, jeti dan pelabuhan.

Selain itu, kerajaan negeri juga memutuskan untuk membenarkan kilang-kilang dan ladang-ladang sawit di Lahad Datu, Kunak dan Kinabatangan untuk beroperasi semula tertakluk kepada pengesahan bebas Covid-19 daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.

Katanya, kerajaan negeri ingin menegaskan bahawa keselamatan dan kebajikan rakyat Sabah adalah  keutamaan.

Sebelum ini, Sabah memutuskan tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB seperti diumumkan Kerajaan Persekutuan pada 1 Mei lalu, sebaliknya mengekalkan pelaksanaan PKP fasa empat yang akan berakhir pada 12 Mei ini.

* Sabah mengambil pendekatan terbaik dalam usaha menangani penularan Covid-19 dan menjaga keselamatan rakyat dengan meneruskan pelaksanaan  PKP.

Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony, berkata jika dilihat, Sabah adalah negeri terawal mengambil langkah pencegahan dengan membatalkan semua penerbangan dari Wuhan, China dan negara yang mempunyai kaitan dengan virus itu.

* Sebanyak 820 kilogram beras diagihkan Ahli Parlimen P170 Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau kepada beberapa badan keagamaan di Tamparuli dan Kiulu hari ini termasuk  Seventh-Day Adventist (SDA) Mission Tamparuli Sabah, Masjid Al-Hidayah Pekan Kiulu, San Damiano Convent Kiulu dan La Foresta of Franciscan Hermitage.

* Dahulunya, seorang ibu tunggal, Rita Bassuni, 47 tahun menetap di sebuah kediaman usang di Merotai Besar, Tawau bersama 10 anaknya.

Selain tidak selesa, struktur dan persekitaran kediaman daif itu juga tidak selamat untuknya sekeluarga meneruskan kehidupan.

Kini, impian Rita dan anaknya untuk menyambut lebaran dalam suasana lebih selamat, selesa, teratur dan bersih, tercapai apabila kesulitan hidupnya mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat, menerusi progam Jelajah Amal Ramadan dimana masyarakat yang kurang bernasib baik di kawasan DUN Tanjung Batu, diberikan bantuan.

* 574 pelajar Sarawak yang menuntut di beberapa institusi pengajian tinggi di Sabah, berlepas pulang ke kampung halaman masing masing semalam.

287 daripadanya adalah pelajar Universiti Malaysia Sabah, UMS yang berlepas  pulang dengan menaiki 2 pesawat sewa khas Penerbangan Malaysia.

* Sebuah pesawat pengangkut Airbus A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia, TUDM dari No. 22 Skuadron, Pangkalan Udara Subang berjaya melaksanakan penerbangan membawa Helikopter Super Lynx, Tentera Laut Diraja Malaysia, TLDM ke Kota Kinabalu dari Pangkalan Udara Subang, semalam.

Proses membawa aset udara milik TLDM ini adalah yang julung kali dilaksanakan oleh TUDM dan membuktikan keupayaan pesawat A400M TUDM sebagai aset yang sangat diperlukan ketika negara dilanda krisis.

* Dua lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam aktiviti pemburuan haram  ditahan manakala seorang lagi melarikan diri di Hutan Simpan Ulu Kalumpang, Tawau, Selasa lalu.

* Seorang pengawal keselamatan maut selepas kereta dipandunya merempuh sebuah motosikal lalu terbabas dan melanggar pokok di Jalan Tuaran Bypass, dekat Kalansanan, Inanam, 7. 40 malam tadi.