Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 7 January 2020

Bersama Beverly Anastacia Lim.

Laporan Pilihan raya kecil, PRK Parlimen P 176 Kimanis.

* Buat kesekian kalinya, Kementerian Dalam Negeri membuat penjelasan demi penjelasan mengenai rasional di sebalik pelaksanaan Pas Sementara Sabah, PSS yang menjadi antara isu hangat di sepanjang kempen, bagi menangkis dakwaan pembangkang. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman menegaskan pemalsuan kad pendaftaran orang asing khas atau IMM 13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci akan dapat dikesan selepas pelaksanaan PSS yang dijangka bermula 1 Jun ini. Katanya pemeriksaan ketat akan dilakukan semasa PSS dikeluarkan kelak. Justeru mana-mana pemohon yang didapati memegang dokumen palsu akan ditangkap serta-merta. Pemegang 3 dokumen itu yang gagal menukar kepada PSS akan ditangkap, dipenjara dan diusir balik ke negara asal mereka. Datuk Mohd. Azis berkata, hanya 136, 055 kad PSS dijangka dikeluarkan berdasarkan kepada jumlah pemegang ketiga-tiga dokumen berkenaan yang ada di Sabah sekarang.

Katanya, tiada penambahan pengeluaran PSS kerana jumlah yang ditetapkan itu adalah berdasarkan kepada bilangan ketiga-tiga dokumen tersebut yang telah dikeluarkan oleh kerajaan Barisan Nasional BN dan Parti Bersatu Sabah, PBS sebelum ini.

* Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM Sabah mengesahkan gambar tular di media sosial menunjukkan Ketua Menteri sedang memberikan sedekah di masjid berlaku di Sandakan, bukannya di Kimanis.

* Dek kerana kehabisan modal, pembangkang menggunakan serangan peribadi sehingga menyentuh soal bangsa dan keturunan ketika berkempen untuk meraih undi. Bagi Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Warisan Sabah, Warisan, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal, tindakan sedemikian ke atas dirinya adalah sesuatu yang tidak wajar. Apatah lagi ia dilakukan oleh bekas rakan seperjuangannya dalam Umno suatu ketika dahulu.

* Isyarat tangan ‘Peace’ popular sejak beberapa hari ini di sekitar Kimanis.

* Tindakan pemimpin Umno dan BN memainkan isu agama dengan menuduh program sambutan Krismas di Membakut 4 Januari lalu sebagai program politik telah menimbulkan kemarahan masyarakat Kristian di daerah itu. Berikutan itu, satu laporan polis dibuat bagi mendesak pihak  berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemimpin-pemimpin parti itu yang didakwa memfitnah dan memalukan masyarakat Kristian.

* Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony mengingatkan Umno dan BN supaya tidak menghina masyarakat Kadazan Dusun dan Murut, KDM dengan mempersoalkan sambutan Krismas iaitu hari kebesaran masyarakat Kristian.

* Pengarah jentera pilihanraya Warisan PRK Parlimen Kimanis, Datuk Jaujan Sambakong mengingatkan semua jentera parti kerajaan mahupun pembangkang agar mematuhi peraturan dan menghormati proses demokrasi di negara ini.

* Masuk hari keempat berkempen, pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, Datuk Christina Liew berkata, situasi di Parlimen Kimanis positif.

* Parti Pribumi Bersatu Malaysia, BERSATU akan memastikan calon Warisan bukan sahaja menang malah memperolehi jumlah undi yang besar – Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

* Di tengah tengah kehangatan kempen di Kimanis, orang ramai dikejutkan dengan laporan Penolong Setiausaha Puteri UMNO Wilayah Persekutuan dan Ketua Puteri UMNO Seputeh, Nurul Hazwani  Haslan, yang disahkan positif H1N1, selepas 2 hari bertugas di Kimanis. Nurul Hazwani adalah seorang petugas di Pusat Daerah Mengundi Membakut.

* Lagu kempen parti Warisan yang diadaptasi dari lagu Pembayaran Ansur Ansur, kian popular dan turut dinyanyikan Ketua Menteri serta calon Warisan, Datuk Karim Bujang di sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2020 di Bongawan Estate, petang tadi.