Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 6th October 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Seorang bayi perempuan berusia setahun yang meninggal dunia di Hospital Semporna antara 3 kes kematian akibat Covid-19 yang dilaporkan di Sabah hari ini.

Sabah mencatatkan 219 kes positif baharu Covid-19 hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan dua lagi kes kematian di Sabah hari ini melibatkan dua lelaki, kedua-duanya berusia 60 tahun yang meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent, Sandakan dan Hospital Semporna.

Secara keseluruhannya, Malaysia mencatatkan 691 kes positif baharu hari ini dengan 397 kes dilaporkan di Kedah.

Daripada 219 kes di Sabah, 120 adalah daripada saringan bergejala termasuk 3 warga asing.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan akan mengenakan sekatan perjalanan keluar, masuk dari Sabah ke Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Labuan bermula 12 hingga 25 Oktober ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan langkah itu dilakukan setelah mengambil kira peningkatan kes Covid-19 di seluruh negeri Sabah.

Bagaimanapun, pengecualian khas diberikan kepada kes-kes tertentu yang melibatkan kecemasan, kematian dan perkhidmatan perlu.

Individu yang mahu keluar dari Sabah perlu mendapat kebenaran selain perlu menjalani ujian saringan Covid-19 setibanya di pintu masuk destinasi masing-masing.

Untuk pergerakan masuk ke Sabah hanya dibenarkan mengikut kategori yang telah ditetapkan.

* Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB akan bermula di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan tepat pukul 12.01 tengah malam ini.

Berikutan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menasihatkan orang ramai agar mematuhi setiap arahan dikeluarkan pihak berkuasa bagi membendung penularan Covid-19.

“Elakkan 3S (3C) iaitu jauhi kawasan sesak (crowded place), elakkan kawasan sempit (confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation).

“Amalkan 3W iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai alat pelitup muka (face mask) di tempat awam atau jika bergejala (wear), dan amaran (warn) dari Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Sekali lagi diingatkan kepada semua rakyat Sabah untuk sentiasa mematuhi arahan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dan dinasihatkan untuk memainkan peranan masing-masing dalam memerangi pandemik COVID-19 dengan penuh tanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, semua operasi premis kerajaan negeri di kawasan PKPB akan ditutup bermula esok.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong memaklumkan perkara itu menerusi satu surat pekeliling, hari ini.

Arahan penutupan itu juga dilaksana di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar, PKPDB di Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna.

* 122 sekolah di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan ditutup bermula hari ini.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, penutupan sekolah itu dibuat sehari lebih awal daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB diketiga-tiga daerah itu yang bermula tengah malam ini.

Penutupan sekolah tersebut melibatkan 86 buah sekolah rendah, 25 buah sekolah menengah dan 11 buah sekolah swasta.

Sekolah di luar kawasan PKPB akan beroperasi seperti biasa sebagaimana yang dijelaskan di dalam kenyataan media Kementerian Pendidikan yang telah dikeluarkan pada 3 Oktober 2020 yang lalu.

* Dewan Rakyat mengemukakan pemberitahuan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR mengenai kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi selepas penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong meninggal dunia 2 Oktober lalu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, SPR perlu mengisi kekosongan itu dalam tempoh 60 hari.

* Susulan banjir di Sabah.

Mangsa banjir yang ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara, PPS berkurang kepada 276 orang daripada 82 keluarga setakat 4 petang tadi berbanding 287 orang daripada 86 keluarga pagi tadi.

Jabatan Pertahanan Awam memaklumkan, PPS yang dibuka adalah di Kota Belud dan Tuaran.

Secara keseluruhan sebanyak 32 kampung terjejas banjir di Sabah akibat hujan lebat berterusan sejak awal pagi semalam.

* Jabatan Kerja Raya, JKR diarah mempercepatkan kerja pembaikan jalan dan jambatan runtuh di beberapa laluan utama berikutan hujan lebat berterusan di kawasan pantai barat dan pedalaman Sabah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata beliau sudah meminta Pengarah JKR negeri, Datuk Ir Richard Jomiji Kinsil dan jurutera daerah di kawasan yang terjejas untuk memantau dan melaksanakan kerja pembaikan dengan segera.

Bung Moktar berkata, semua kerosakan infrastruktur disebabkan bencana alam akan diberi perhatian serius dan dilakukan pembaikan segera demi kepentingan penduduk dan keselamatan pengguna.

6th October 2020.