Berita BT TV. Berita Borneo. Lensa Borneo 6th July 2020

Bersama Reetasha Joanes Mijol.

* Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020, yang melibatkan 32.7 juta penduduk negara ini akan dilaksanakan dalam dua fasa bermula esok.

Fasa pertama adalah secara dalam talian atau e-Census yang bermula esok sehingga 30 September, bersifat mesra teknologi dan bertepatan dengan keadaan semasa negara yang masih berdepan dengan ancaman COVID-19.

Manakala fasa kedua akan bermula pada 7 hingga 24 Oktober dengan kaedah temu ramah bersemuka.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal meminta rakyat Sabah memanfaatkan program ini sebaik mungkin dengan memberikan maklumat yang diperlukan.

Pengkalan data terbaharu itu membolehkan kerajaan memperbaiki sistem penyampaian kepada rakyat dengan mengubal dan merangka dasar berpandukan kepada maklumat Banci 2020.

Sekaligus kerajaan dapat memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.

Banci dilakukan setiap 10 tahun.

* Bayi berusia tiga bulan antara empat yang dijangkiti virus polio di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, minggu lalu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata tiga lagi yang dikesan itu melibatkan kanak-kanak berusia tiga, lapan dan sebelas tahun.

Tiga daripadanya warga asing dan seorang warga tempatan.

* Lebih 300 keluarga di Kampung Penimbawan, Tuaran kini menarik nafas lega apabila masalah bekalan air yang membelenggu mereka selama ini, berakhir.

Projek menaiktaraf bekalan air graviti bernilai RM170,000 itu mengubah kehidupan penduduk setempat menjadi lebih selesa.

Penduduk sebelum ini terpaksa berulang alik mengangkat 100 gelen air dari luar rumah.

Mereka mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri khususnya Ahli Parlimen Tuaran merangkap Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Tangau kerana berjaya menyelesaikan isu bekalan air di kampung itu.

Laporannya bersama Salbinous Saribun.

* Pasar malam Jalan Gaya kini meriah semula selepas 4 bulan sunyi sepi.

Pembukaan semula pasar malam itu adalah berita baik yang ditunggu-tunggu masyarakat sekitar Kota Kinabalu.

Bagi golongan peniaga, ramai melahirkan perasan gembira kerana dapat menjana semula pendapatan.

Manakala pengunjung pula berasa seronok kerana dapat meluangkan masa bersama keluarga tersayang.

* Ini pula usaha untuk membantu meningkatkan kesedaran orang ramai untuk menderma darah.

Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah, HWKKS bekerjasama dengan 1Borneo Hypermall untuk melaksanakan program menderma darah pada setiap hujung minggu di pusat membeli belah berkenaan.

Melalui kerjasama itu, pihak hospital akan membuka kaunter menderma darah di pusat beli-belah itu pada setiap Sabtu dan Ahad sehingga 19 Julai.

Sepanjang tempoh itu, HWKKS mensasarkan untuk memperoleh 100 pain darah setiap minggu yang akan meningkatkan bekalan darah sehingga 50 peratus di tabung darah hospital berkenaan.

Ketua Unit Perubatan Transfusi HWKKS, Dr Jamaludin Mail berkata ketika negara memerangi pandemik Covid-19, simpanan di tabung darah hospital itu berkurangan sehingga ke paras membimbangkan.

6th. July 2020