Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 6th August 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Istana Negeri Sabah hari ini mengesahkan tidak pernah menerima 33 Akuan Bersumpah, SD seperti yang didakwa Tan Sri Musa Aman ketika cuba menggulingkan Kerajaan Sabah.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Sulit Yang Dipertua Negeri Sabah, Abinan Asli berkata, Istana Negeri Sabah juga tidak pernah menerima permohonan daripada Musa untuk hadir berjumpa dengan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Sehubungan itu, Abinan berkata, tuduhan yang dibuat seorang pemimpin pertubuhan bukan kerajaan semalam adalah tidak benar, tidak berasas dan mempunyai niat jahat.

* Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun meminta Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong menulis usul rasmi berhubung Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang didakwa membuat kenyataan mengelirukan mengenai dokumen IMM13.

Vui Keong membangkitkan perkara itu mengikut Peraturan Mesyuarat 36 (12) selepas Hamzah pada 4 Ogos mengeluarkan kenyataan mengelirukan dan menghina Majlis Mesyuarat kononnya Parti Warisan Sabah mengeluarkan dokumen IMM13.

Tegasnya, Kerajaan Sabah pimpinan Warisan tidak pernah sama sekali mengeluarkan apa-apa jenis dokumen sama ada Kad Burung-Burung, Sijil Banci atau IMM13.

Sebaliknya kesemua dokumen itu dikeluarkan ketika zaman kerajaan PBS, Berjaya, USNO dan Barisan Nasional.

Katanya, Hamzah perlu menarik balik kenyataan itu dan meminta maaf kepada dewan.

* Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin perlu dihalang daripada memasuki Sabah kerana pembohongan dan fitnah yang dibuat ketika sidang Dewan Rakyat kelmarin apabila mengaitkan Parti Warisan Sabah dengan pengeluaran dokumen kepada warga asing.

Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, Hamzah juga adalah dalang di sebalik kumpulan yang memberikan tekanan kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin bagi membolehkan perancangan Tan Sri Musa Aman menggulingkan Kerajaan Sabah berjaya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong berkata kenyataan Datuk Seri Hamzah di Dewan Rakyat itu menunjukkan beliau tidak ikhlas untuk menangani isu berkenaan. Sebagai menteri bertanggungjawab dalam isu keselamatan, beliau sepatutnya memeriksa fakta dan tindakan.

Ini sama sekali tidak dapat diterima daripada seorang menteri dan ini juga hanya akan menambah kekeliruan dan kekacauan berkenaan isu ini.

* Semua parti komponen dalam Pakatan Harapan, PH sekali lagi mengulangi sokongan penuh terhadap Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal bagi membentuk semula kerajaan kata Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew.

* Legasi kemenangan kombinasi Warisan-PH Plus-UPKO perlu diteruskan dalam Pilihan Raya Negeri, PRN Sabah kata Ketua Wanita DAP Sabah, Jannie Lasimbang.

Jannie yang akan bertanding semula di DUN Kapayan dalam PRN Sabah berkata tiga undang-undang kecil yang dirancang untuk digubal bagi kawasan Kapayan dan Penampang, tertangguh susulan senario politik semasa.

Tiga undang-undang kecil itu berkaitan pengurusan sisa buangan, geran tanah atau hak milik strata dan bangunan.

* Kerajaan Sabah memutuskan agar pihak berwajib hendaklah  meningkatkan penguatkuasaan prosedur standard operasi, SOP, susulan peningkatan kes Covid-19 bermula 24 Julai lalu di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal berkata penularan wabak ini dikhuatiri akan terus meningkat sekiranya tindakan kawalan tidak diperketatkan.

* Empat kes baharu dilaporkan di Sabah hari ini membabitkan kes import bagi warganegara dan warga asing yang pulang dari Filipina. Tiga daripada kes baharu yang dilaporkan di Sandakan adalah warga tempatan manakala satu lagi kes melibatkan warga asing.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata, dengan pertambahan empat kes itu menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Sabah meningkat kepada 406 kes.

Semalam, arahan penutupan sebuah kelas prasekolah di sebuah Sekolah Kebangsaan Penampang telah dikeluarkan berikutan terdapat murid yang dijangkiti Covid-19.

* Seorang remaja lelaki ditahan kerana memiliki dua laras senjata api buatan sendiri atau dikenali ‘ginsok’ di Kampung Kionsom Kecil, Inanam, Isnin lalu dengan alasan untuk memburu burung hutan.

6th. August 2020.