Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 6th April 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Tiga institusi kerajaan dan sebuah hotel yang dijadikan Pusat Kuarantin di Kota Kinabalu telah dibuka bagi menempatkan pesakit  dalam pemantauan, PUI.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkata, tiga institusi itu adalah Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Bukit Padang; Akademi Bomba Sepanggar Kota Kinabalu; dan Politeknik Kota Kinabalu yang menyediakan 142 bilik.

Dua daripada tiga institusi berkenaan serta pusat kuarantin di Monaco Boutique Hotel, Sadong Jaya yang menyediakan 40 bilik, telah diisi sepenuhnya.

* Pasukan Polis Marin, PPM Lahad Datu menahan empat lelaki warga tempatan berusia antara 25 tahun sehingga 54 tahun yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan, PKP, di kawasan laut Tambawan, semalam.

* Tinjauan BTtv di sekitar Penampang mendapati orang ramai berbaris panjang seawal 9 pagi di Bank Simpanan Nasional, BSN di hari pertama pembayaran Bantuan Prihatin Nasional, BPN.

Meskipun kebanyakan yang beratur memakai penutup hidung dan mulut namun masih ada yang tidak mengendahkan penjarakan sosial satu meter.

Laman sosial Facebook turut memaparkan gambar orang ramai berbaris panjang di bank di sekitar Sabah termasuk di Pekan Semporna.

* Kedai tayar serta bengkel kenderaan di Sabah dibenarkan beroperasi antara 8 pagi hingga 2 petang setiap Isnin, Rabu dan Jumaat sepanjang tempoh pelaksanaan PKP, hasil mesyuarat Pusat Arahan Sabah Covid-19, 1 April lalu.

Sebilangan kedai tayar dan bengkel berdaftar dengan Jabatan Kerja Raya, JKR juga dibenarkan beroperasi.

Tinjauan BTtv di sekitar kedai tayar dan bengkel membaiki kenderaan di Inanam siang tadi mendapati perkhidmatan yang boleh dilakukan adalah terhad kerana kedai menjual alat ganti kenderaan, masih ditutup.

* Bantu membantu ketika susah.

Penduduk di Kampung Pogunon, Penampang mengambil inisiatif memberikan barangan keperluan asas harian secara percuma kepada individu atau keluarga di kalangan penduduk setempat, di sepanjang tempoh  PKP.

Barangan berkenaan termasuklah ikan segar, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Inisiatif itu  tular di media sosial dan menerima pujian serta komen positif netizen.

* Kerajaan Sabah terus menerima sumbangan peralatan perlindungan diri, PPE untuk kegunaan petugas barisan hadapan. Hari ini, 20,000 penutup hidung dan mulut disumbangkan oleh Gabungan Persatuan Cina Sabah, FCAS dan Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia, Huazong.

Presiden FCAS, Tan Sri TC Goh mewakili kedua-dua persatuan menyampaikan sumbangan kepada

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong.

* Dalam keadaan krisis dan ancaman kesihatan hari ini, sebahagian masyarakat seperti peniaga di pasar am dan pasar ikan terpaksa berhadapan dengan  risiko tinggi ketika berurus niaga kerana terpaksa bersemuka dengan pengunjung setiap hari.

Peka dan prihatin dengan hal itu, pihak penaja melalui Pusat Khidmat Parlimen Penampang mengambil inisiatif untuk menyumbangkan  480 penutup hidung dan mulut serta 400 sarung tangan kepada peniaga di Pasar Am Donggongon.

200 penutup hidung dan mulut serta 200 sarung tangan turut disumbangkan kepada peniaga di Pasar Ikan Donggongon serta 250 penutup hidung dan mulut dan 250 sarung tangan kepada Balai Polis Penampang hari ini.

Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking turut turun padang dan berinteraksi dengan orang awam bagi meninjau keperluan mereka.

* Dakwaan pihak tertentu  yang mengatakan bantuan bekalan makanan hanya diberikan kepada ahli parti-parti tertentu adalah tidak benar, tidak berasas dan berbaur fitnah kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

* 430 paket beras 10 kilogram disampaikan kepada penduduk kawasan terpencil di Mukim Ulu Kiulu yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan, PKP.

Timbalan Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah, Jo-Anna Sue Henley Rampas menyampaikan bantuan hasil sumbangan sebuah pertubuhan bukan kerajaan, NGO itu kepada Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, MPKK.

Bantuan itu akan disalurkan kepada penduduk Mukim Ulu Kiulu yang terjejas PKP iaitu Kampung Tudan, Kampung Poring, Kampung Kawang-Kawang, Sungoi, Tolungan Ulu,  Gonipis, Polod, Manatangah, Romokon, Pinahawon dan Kampung Pantai.

* Kira kira 300 penduduk majoritinya kaum Lun Bawang dan Lundayeh nun jauh di Long Pasia, meneruskan kehidupan aman damai tanpa dibelenggu kebimbangan terhadap pandemik Covid-19 atau krisis ekonomi global.

Tiada jangkitan Covid-19 dilaporkan di kalangan penduduknya meskipun kampung ini terletak di daerah Sipitang yang merekodkan 4 kes positif Covid-19 setakat semalam, dimana 3 daripadanya telah sembuh.

Menurut seorang penduduk Long Pasia, Lait Lakong, 48 tahun, sekatan penuh kemasukan orang luar dan pelawat ke Long Pasia membantu sifar kes Covid-19 di perkampungan itu.

Lait berkata penduduk Long Pasia tidak memakai penutup hidung dan mulut ketika menjalankan aktiviti harian di kampung itu.

Long Pasia yang bermaksud Kuala Sungai Merah dalam bahasa Lundayeh, terletak, 112 kilometer dari  Sipitang, dikenali sebagai destinasi eko pelancongan yang kaya dengan kebudayaan dan sejarah, popular di kalangan pelancong Eropah.