Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 6 Mei 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal berkata persediaan rapi perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum sebahagian besar sektor ekonomi diberi kebenaran beroperasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB selepas 12 Mei ini.

Tegasnya keputusan itu mestilah dilakukan secara teliti agar berjalan dengan lancar dan bukannya secara semberono.

Katanya, persediaan perlu dibuat untuk memastikan bagaimana kawalan dilakukan bagi industri tertentu untuk mencegah penularan Covid-19 serta bantuan yang dapat disediakan kerajaan kepada perniagaan yang mengalami kerugian  akibat Perintah Kawalan Pergerakan, PKP.

* Ketua Menteri berkata polis mempunyai kuasa memberi kebenaran empat orang yang boleh berada dalam satu kenderaan seperti yang diumumkan Polis Sabah hari ini.

Kawalan ketat bagaimanapun perlu bagi mana-mana kawasan yang sebelum ini dikategorikan zon merah Covid-19.

* Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah, LKTNS membayar dividen dan elaun sara hidup berjumlah RM1.05 juta kepada 2,425 penerima di seluruh Sabah.

Ketua Menteri berkata, 1,533 penerima adalah ketua isi rumah peserta projek sosio ekonomi di bawah LKTNS dan 892 lagi penerima adalah peserta  Skim-Skim Rancangan Peneroka LKTNS.

Selain itu LKTNS turut menyumbangkan RM112, 830 untuk bantuan makanan kepada masyarakat peneroka yang turut terjejas akibat penularan wabak COVID-19.

Mengenai pelajar Sabah yang terkandas di universiti masing-masing di Semenanjung dan Sarawak ekoran PKP, Datuk Seri Mohd Shafie berkata terdapat kira-kira 11,000 pelajar yang belum kembali ke Sabah.

* Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, JKNS  tidak mampu menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas semua pekerja asing yang berada di negeri ini, sekiranya ia menjadi prasyarat bagi membolehkan sektor ekonomi dibuka semula.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata hospital-hospital kerajaan tidak akan menang tangan sekiranya pekerja asing diwajibkan menjalani saringan Covid-19 sebelum sektor ekonomi beroperasi semula.

Katanya, proses itu mampu dilakukan sekiranya dijalankan secara berperingkat.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan mewajibkan pekerja asing di semua sektor termasuk pembinaan, perkilangan dan komersial menjalani saringan Covid-19.

* Sekumpulan doktor dan klinik swasta di Tawau mengambil inisiatif menghasilkan dua unit ‘Gerobok Covid-19’ dengan kos RM6,000 untuk disumbangkan kepada Klinik Kesihatan Tawau, semalam.

Kemudahan itu yang pertama diguna pakai di Tawau, dapat mengurangkan risiko jangkitan kepada petugas kesihatan ketika melakukan ujian saringan Covid-19.

* Peperiksaan awam bagi sekolah-sekolah dibawah kendalian Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, JHEAINS,  tahun ini ditangguh dan dibatalkan akibat pandemik Covid-19.

Peperiksaan Sijil Rendah Ugama, SRU yang dijadualkan pada 28 September sehingga 2 Oktober, dibatalkan manakala peperiksaan Sijil Menengah Ugama, SMU yang sepatutnya bermula dari 28 September hingga 7 Oktober,  ditangguhkan sehingga suku pertama tahun depan.

Pengarah JHEAINS Datuk Saifulzaman Sangul berkata pembatalan SRU melibatkan seramai 5,683 orang pelajar dari 104 buah sekolah agama negeri kendalian JHEAINS.

Manakala penangguhan SMU melibatkan 357 pelajar dari 6 sekolah menengah agama negeri dibawah kendalian JHEAINS.

* JHEAINS menafikan dakwaan berlaku penyalahgunaan dana masjid di Sabah.

Pengarah JHEAINS, Datuk Saifulzaman Sangul berkata inisiatif menggunakan tabung masjid bagi melakukan infaq, iaitu menyumbang bagi membantu meringankan bebanan masyarakat amat digalakkan dalam  Islam.

Maka, tidak salah untuk jawatankuasa masjid menggunakan dana sedia ada bagi membantu ahli-ahli kariah masjid yang terkesan oleh pandemik Covid-19.

* Kita jaga kita. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Sekumpulan 15 penduduk Mukim Mantob Ulu Kiulu mengambil inisiatif mengumpul dana untuk disumbangkan kepada jiran tetangga yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, PKP.

Hasil muafakat penduduk, sebanyak RM4,000 berjaya dikumpulkan untuk didermakan kepada golongan ibu tunggal, Orang Kurang Upaya, warga emas dan miskin tegar di mukim berkenaan.

* Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah kini dalam proses menyediakan pelan pemulihan sektor pelancongan yang dijangka dapat dilaksanakan seawal-awalnya penghujung tahun ini. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata pelan itu merangkumi segmen pasaran domestik dan antarabangsa.

Dari segi pasaran antarabangsa, kerajaan menerusi Lembaga Pelancongan Sabah akan menumpukan kepada pasaran mewah yang boleh memberi pulangan maksimum berbanding pasaran biasa.

* Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah, ESSCOM mengeluarkan senarai terkini 21 warga asing yang dikehendaki kerana terlibat dengan aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan pantai Timur Sabah.

Komander ESSCOM Datuk Hazani Ghazali berkata, senarai itu termasuk tiga individu terbaharu iaitu Ketua Jemaah ‘Group Zamboanga De Norte’ Mamay Aburi, Ketua kumpulan penculik Ajang Ajang Group, Basaron Arok dan ahli kumpulan penculik ‘Apo Mike’,  Alvin Yusof @ Arab Puti.

Mamay Aburi terbabit dalam kes berbalas tembakan dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada 20 Disember tahun lalu.

Semua individu itu dipercayai terbabit dengan kumpulan penculikan untuk wang tebusan, KFR di perairan Zon Selamat Timur  Sabah ESSZONE.