Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 6 March 2021

 

Bersama Hikma Juni.

* Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, BERSATU Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor memberi jaminan kerjasama antara BERSATU dan UMNO Sabah tidak akan terjejas dengan perkembangan politik yang sedang berlaku di Kuala Lumpur.

Dalam satu kenyataan, hari ini, Hajiji berkata BERSATU akan terus bekerjasama dengan rakan dalam gabungan di Sabah bagi menghormati mandat rakyat yang membolehkan Gabungan Rakyat Sabah, GRS berkuasa.

* Kerajaan negeri merancang untuk memperbesarkan jalan Berungis ke Pekan Tuaran bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya di kawasan tersebut.

Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Sulaman, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pengguna jalan raya sering merungut dengan masalah kesesakan serius yang berlaku di kawasan ini.

Selaku Ketua Menteri, beliau akan memastikan projek pembesaran jalan raya dari Berungis ke Pekan Tuaran dilaksanakan demi keselesaan para pengguna jalan raya.

* SK Nexilis, sebuah syarikat dari Korea Selatan bercadang membuka kilang pembuatan kerajang tembaga luar negara pertamanya di Sabah dengan pelaburan RM2.3 bilion di Taman Perindustrian Kota Kinabalu, KKIP yang bakal mewujudkan 400 peluang pekerjaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang mengalu-alukan pelaburan asing itu, memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan membantu syarikat berkenaan.

Hajiji berharap pelaburan SK Nexilis di Sabah akan menarik minat syarikat lain di seluruh dunia dan Korea untuk datang dan melabur di negeri ini.

* Veteran politik Sabah, Tan Sri Abdul Ghani Gilong, 88, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, malam tadi. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 12.12 tengah malam akibat sakit tua.

Allahyarham dilahirkan pada 30 Mei 1932 di Kampung Matan, Ranau dan pernah menjawat jawatan sebagai menteri Persekutuan sehingga 1978.

Selain itu Allahyarham juga pernah berkhidmat dengan tiga bekas Perdana Menteri yang terawal.

Sejak melibatkan diri dalam arena politik pada 1963, Allahyarham pernah memegang jawatan sebagai Menteri Hal Ehwal Sabah dan Pertahanan Awam.

Allahyarham juga pernah menjawat jawatan Menteri Kehakiman serta Menteri Kerja Raya dan Pengangkutan Malaysia serta turut memainkan peranan sebagai salah seorang pemimpin dari Sabah dalam pembentukan Malaysia pada 1963.

* Mohd Ayub Maidi dan Nadirah Syazwani Sapari muncul johan qari dan qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sabah 1442H/2021M di Kota Kinabalu, malam tadi.

Mohd Ayub mewakili daerah Semporna dan Nadirah Syazwani mewakili daerah Keningau masing-masing menerima hadiah wang tunai RM6,000 berserta piala dan hadiah iringan antaranya pakej mengerjakan haji.

Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin menyampaikan hadiah kepada pemenang pada majlis di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah, Kota Kinabalu yang turut dihadiri isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni dan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

* Pembangunan infrastruktur telekomunikasi di pedalaman Sabah akan terus dipertingkatkan.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Arthur Kurup berkata 40 menara telekomunikasi yang baharu akan dibina dibawah Program Jalinan Digital Negara, JENDELA di kawasan Parlimen Pensiangan.

Manakala 44 menara telekomunikasi sedia ada akan dinaik taraf kepada rangkaian 4G.

* Sabah Electricity Sdn Bhd, SESB dalam proses mempertingkatkan jumlah bekalan tenaga elektrik ke kawasan Pantai Timur Sabah kira-kira 80 Mega Watt (MW) menjelang 2023.

Pengerusi Tenaga Nasional Berhad, TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah ketika ini adalah mencukupi kerana keperluan tenaga diimport dari Pantai Barat Sabah di samping stesen janakuasa di Pantai Timur yang dianggarkan menjana hampir 200MW.

* Sesi persekolahan bagi murid Tahun Tiga Hingga Enam, Isnin ini, membabitkan 193,653 orang murid sekolah rendah kerajaan dan swasta.

Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Dr Mistirine Radin berkata, daripada jumlah itu seramai 191,972 orang murid adalah daripada sekolah rendah kerajaan dan 1,681 murid sekolah rendah swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia.

* Kes positif baharu di Sabah menurun dengan 74 kes dilaporkan hari ini, berbanding 97 kes semalam menjadikan jumlah kumulatif kini 53, 387 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata satu kes kematian dilaporkan di Sabah hari ini iaitu di Tawau. Tiada kluster baharu direkodkan.

Setakat hari ini, secara kumulatif 5,858 orang telah menerima suntikan vaksin di Sabah.

Kerajaan negeri membenarkan aktiviti sukan dan rekreasi, bermula Isnin ini.

* Jambatan Gantung Tamparuli bakal berubah wajah dengan lukisan mural gergasi berkonsepkan corak tempatan yang bakal menjadi tarikan pelancong.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim berkata, lukisan mural itu nanti akan membuatkan tiang-tiang jambatan tersebut lebih indah dan menarik dipandang.

Beliau berkata, ketika ini reka bentuk dan aspek teknikal bagi menjayakan projek berkenaan, sedang dikaji dan diteliti.

6th March 2021.