Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 5th July 2020

Bersama Hikma Juni.

* Sabah mempertimbangkan untuk membuka semula pintu kepada pelancong asing dari negara dikategorikan zon hijau mulai 1 September depan kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew

Laporannya bersama Jennifer Michael.

* Kundasang akan mengalami revolusi pertanian apabila kerajaan negeri memutuskan untuk menggunakan teknologi moden dalam sektor pertanian di kawasan tanah tinggi itu.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Junz Wong berkata pertanian konvensional telah merosakkan alam sekitar di Kundasang.

Antaranya hakisan tanah akibat penebangan hutan.

Malahan cuaca di Kundasang juga tidak sedingin seperti sebelum ini dan tanahnya semakin penuh dengan bahan kimia berbahaya.

* 2 lagi kes positif baharu Covid-19 dilaporkan di Sabah hari ini iaitu di Kota Kinabalu dan Keningau.

Ia melibatkan kes pra pembedahan di Kota Kinabalu.

Manakala kes di Keningau melibatkan bukan warganegara yang baru kembali dari Pakistan.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Sabah meningkat kepada 378 kes.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata  bilangan kes aktif di Sabah turut meningkat kepada 15 iaitu 6 di Kota Kinabalu, 2 di Tuaran dan masing masing 1 kes di Tawau, Sandakan, Keningau, Penampang, Kota Belud, Ranau dan Nabawan.

* Pengerusi Parti Keadilan Rakyat, PKR Sabah, Datuk Christina Liew menegaskan cabang Ranau tetap kuat dan utuh walaupun ketua cabangnya, Jonathan Yasin bertindak keluar daripada parti itu untuk menyertai Perikatan Nasional, Mac lalu.

Sebaliknya, tidak ada yang melompat parti beramai-ramai mengikut jejak Jonathan kerana pemimpin dan anggota parti di Ranau tidak mahu menjadi katak politik dan mereka juga tidak mahu menggadaikan martabat perjuangan parti katanya.

* Iron Man mendaki Gunung Kinabalu? Mungkin kedengaran agak pelik.

Namun itulah cabaran yang disahut oleh seorang peminat cosplay, Yohan Charles Jayasuriya untuk menakluki puncak setinggi 4,095 meter itu dengan niat murni.

Yohan, 39 tahun, nekad mendaki Gunung Kinabalu dengan mengharungi perjalanan sejauh 8.7km dari Timpohon Gate sambil memakai kostum lengkap Iron Man seberat tiga kilogram.

Misi Iron Man ke puncak Kinabalu bertujuan membantu malim gunung yang terjejas akibat Covid-19.

* Seorang bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia, TLDM dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki bersama seorang rakannya karam di perairan Pulau Mabul, dekat Semporna, semalam.

Sebelum itu, mangsa Mahmur Ajae, 45 tahun, keluar memancing bersama Salimin Saludin, 44 tahun, Jumaat lalu, sebelum bot mereka karam kira kira 7 pagi semalam.

Ketika ini operasi mencari dan menyelamat giat dilakukan Maritim Malaysia, Bomba dan TLDM di lima sektor pencarian dengan keluasan 101 batu nautika persegi.