Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 5th August 2020

Bersama Reetasha Joanes Mijol.

* Institusi Istana Negeri Sabah yang menjadi payung penyatuan rakyat Sabah dicemari dengan tindakan biadab Datuk Zulkarnain Mahdar yang membuat sidang akhbar di Putrajaya mengutuk, menghina dan mengeluarkan pelbagai tuduhan terhadap Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Zulkarnain yang sebelum ini banyak melakukan laporan polis bagi pihak Barisan Nasional turut mengeluarkan kata-kata kesat ‘kepala hotak’ terhadap Tun Juhar atas tindakannya memberi persetujuan pembubaran Dewan Undangan Negeri, DUN Sabah.

* Tindakan biadab Datuk Zulkarnain Mahdar yang mencemar nama baik Istana Negeri Sabah dengan menghina dan membuat tuduhan liar terhadap Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menimbulkan kemarahan rakyat.

Setakat petang ini, dua laporan polis telah dibuat bagi mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap Zulkarnain yang merupakan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan pro-Barisan Nasional.

Laporan pertama dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu oleh Ketua Biro Undang-Undang Wira Parti Warisan Sabah, Mohd Ardy Nadzra.

Sementara itu, laporan polis kedua dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah Penampang oleh Setiausaha Politik Ahli Parlimen Penampang, Pritchard Gumbaris.

Pritchard berkata, pihak berkuasa perlu membuka siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 kerana tuduhan Zulkarnain itu secara terang-terangan menghasut rakyat untuk membenci seorang ketua negeri.

* Sabah yang merupakan antara dua negeri pengeluar minyak terbesar Malaysia selain Sarawak hanya menerima bayaran tunai dari Petronas sebanyak RM12.789 bilion bagi tempoh 12 tahun antara 2008 hingga 2019.

Bagi tempoh sama, Sarawak menerima sebanyak RM24.541 bilion.

Namun, jumlah bayaran dividen oleh Petronas kepada Kerajaan Persekutuan Petronas dalam tempoh 10 tahun bermula 2010 hingga 2019 adalah sebanyak RM282 bilion.

Kesemua data tersebut didedahkan dalam jawapan bertulis oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed di Dewan Rakyat semalam.

Isu bayaran tunai merupakan antara yang paling panas di negeri ini memandangkan Kerajaan Persekutuan didakwa menganaktirikan Sabah apabila lebih mengutamakan pembangunan di Semenanjung berbanding Sabah.

Berikutan itu, rakyat Sabah bangkit menuntut agar negeri ini menerima lebih banyak bayaran daripada Petronas memandangkan hasil bumi itu terletak di negeri ini.

* Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik, DAPSY meminta Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR membenarkan rakyat Sabah yang belajar dan berkerja di Semenanjung Malaysia untuk mengundi pos.

Ketua DAPSY Sabah, Phoong Jin Zhe berkata, kebenaran itu membolehkan rakyat Sabah di Semenanjung Malaysia untuk menunaikan hak demokrasi mereka tanpa perlu menanggung kos penerbangan yang tinggi.

Undian setiap rakyat Sabah amat penting bukan sahaja untuk menghukum katak politik tetapi, untuk mengembalikan kestabilan politik negeri ini.

* Pemuda AMANAH Nasional melihat keperluan untuk rakan-rakan sekutu dalam Parti Warisan Sabah untuk menggunakan logo Warisan dalam Pilihan Raya Negeri, PRN Sabah akan datang.

Pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH, Khairuddin Daud berkata, langkah itu wajar sebagai tanda solidariti mereka mempertahankan mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan menolak pemimpin-pemimpin politik yang tidak berprinsip.

Katanya, penggunaan satu logo ini juga menunjukkan kesatuan dan sokongan tidak berbelah bagi kepada Warisan dalam PRN Sabah.

* Polis Sabah bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Negeri, PRN yang dijangka diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, pihaknya sedang melaksanakan persiapan dari segi penugasan pegawai termasuklah persiapan logistik. Persiapan itu penting berikutan berlakunya pertambahan kerusi Dewan Undangan Negeri kepada 73 kerusi berbanding hanya 60 sebelum ini.

Tambahnya, polis akan memastikan pematuhan prosedur operasi standard, SOP sepenuhnya semasa PRN kelak.

* Bukan buah buahan atau sayur-sayuran yang ditanam, sebaliknya pokok ganja.

Kesudahannya seorang ahli perniagaan di Tawau, ditahan polis.

* Seorang lelaki yang keluar memburu di kawasan hutan Kampung Romokon, Kiulu, tertembak bapa saudaranya sendiri yang berusia 70 tahun, 2 Ogos lalu, selepas menyangka mangsa adalah haiwan buruan.

* Dua guru wanita termasuk seorang pengantin baru, maut selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai di Kilometer 32 Jalan Tawau-Kalabakan, 6 pagi tadi.

Dua lagi rakan sekerja mangsa, cedera.

5th. August 2020.