Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 5 March 2021

 

Bersama Beverly Anastacia Lim.

* Kerajaan negeri mahu mempermudahkan kemasukan pelabur ke Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, peraturan-peraturan atau karenah birokrasi hanya akan menyukarkan usaha kerajaan menarik pelabur ke Sabah.

* Sabah akan memperkukuhkan kerjasama dengan China bagi menarik kemasukan lebih banyak pelabur yang membantu pertumbuhan ekonomi negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata, Sabah menerima banyak manfaat menerusi hubungan baik dengan China yang kini menjadi pelabur utama di dunia.

* Projek Lebuh Raya Pan Borneo, satu daripada projek utama di bawah Kementerian Kerja Raya, menunjukkan kemajuan positif apabila masing-masing mencapai kemajuan 60 peratus di Sarawak dan 45 peratus di Sabah.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sebanyak 11 daripada keseluruhan 35 pakej kerja projek Pan Borneo Sabah sedang giat dilaksanakan.

Manakala lima pakej kerja sedang di peringkat perancangan dan perolehan dan pembinaan dijangka bermula, tahun ini.

Pembinaan bagi 15 dari 35 pakej kerja melibatkan kos RM7.075 bilion.

* Kes positif baharu di Sabah kembali meningkat dengan 97 kes dilaporkan hari ini, berbanding 78 kes semalam menjadikan jumlah kumulatif kini 53, 313 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata tiada kes kematian dilaporkan di Sabah hari ini, namun satu kluster baharu direkodkan iaitu Kluster Kuala Punteh di Keningau dengan 25 kes kumulatif.

Kes indeks dalam kluster ini menghadiri majlis makan malam Tahun Baharu Cina, Chap Goh Mei dan berkumpul sempena aktiviti menuai padi. Ujian saringan kontak rapat masih giat dijalankan Pejabat Kesihatan Keningau.

Nabawan mencatatkan bilangan kes harian tertinggi di Sabah dengan 24 kes positif hari ini, diikuti Keningau 22 kes dan Kota Kinabalu 9 kes.

* Seramai 4,950 petugas barisan hadapan di kawasan pedalaman Sabah akan diberikan suntikan vaksin Pfizer-BioNTech dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan 2021 bermula semalam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Arthur Kurup berkata semua penerima fasa pertama dijangka akan selesai disuntik dua dos vaksin berkenaan pada pertengahan April depan.

* Seramai 165 orang termasuk 47 kanak-kanak dan 24 bayi daripada masyarakat Palauh yang tidak mempunyai taraf warganegara ditahan dalam satu operasi bersepadu ‘Ops Bangau’, semalam.

Golongan Palauh terbabit sebelum ini didapati hidup bergelandangan dengan meminta sedekah di sekitar pusat bandar raya Kota Kinabalu dan tidur beramai-ramai di sebuah kawasan lapang di Sembulan.

* Dua lagi kapal Misi Pesisir atau Littoral Mission Ship, LMS, Tentera Laut Diraja Malaysia TLDM, bakal ditempatkan di Markas Pemerintahan Armada Timur, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan di perairan negara, khususnya di Sabah.

Panglima Tentera Laut Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata pada masa ini dua kapal LMS sudah ditempatkan di Sabah iaitu KD Keris dan KD Sundang.

* Sabah FC masih menunggu kebenaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia bagi membolehkan empat pemain importnya dapat beraksi dalam aksi Liga Super yang bermula esok.

Pengurus pasukan Sabah FC, Marzuki Nasir berkata setakat ini tiga pemain import pasukan ‘The Rhinos’, dalam proses menjalani kuarantin wajib di negara ini manakala seorang lagi dalam proses untuk masuk ke Malaysia.

Empat pemain import Sabah FC ialah Saddil Ramdani (Indonesia), Sam Johnson (Liberia), Risto Mitrevski (Macedonia) dan Levy Madinda (Gabon).

5th March 2021.