Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 5 Februari 2021

 

Bersama Beverly Anastacia Lim.

* Kerajaan Negeri Sabah meluluskan peruntukan RM4.7 juta bagi menyiapkan projek jambatan udara atau skybridge yang terhenti sejak dua tahun lalu selepas pemaju yang mengendalikannya muflis.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata pembinaan projek itu akan dimulakan dalam masa terdekat dan dijangka siap pada pertengahan tahun ini.

* Kes positif baharu Covid-19 di Sabah kembali meningkat dengan 196 kes dilaporkan hari ini berbanding 175 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kini 49, 981 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata 5 kes kematian dilaporkan hari ini iaitu di dua di Kota Kinabalu, dua di Putatan dan satu di Kudat.

Tiada kluster baharu dilaporkan di Sabah hari ini.

* Kerajaan negeri dan persekutuan perlu mempertimbangkan untuk membuka semula, semua sektor perniagaan bagi membantu membina kembali perniagaan dan kehidupan peniaga yang terjejas dengan pandemik COVID-19.

Naib Presiden Parti Bersatu Sabah, PBS Datuk Johnny Mositun berkata penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan, PKP yang dilanjutkan sehingga 18 Februari ini telah menjejaskan perniagaan seperti butik dan spa yang ditutup semasa tempoh tersebut.

* Seramai 65 pengusaha pelancongan berdaftar dengan Pusat Pelancongan Kadamaian, KATA Kota Belud mengambil keputusan menutup sepenuhnya operasi masing-masing walaupun kerajaan membenarkan beberapa aktiviti sektor itu semasa PKP.

Presiden KATA, Walter Kandayon berkata semua pengusaha itu telah membuat keputusan untuk tidak beroperasi sejak pelaksanaan PKP pada 13 Januari lalu untuk membendung penularan COVID-19.

* Pembangunan Fasa 2 Kadamaian Square atau lebih dikenali sebagai Tamu Pekan Taginambur dijangka siap awal bulan depan.

Ia melibatkan pembinaan dua buah rumah rehat empat bilik, kafeteria, pembinaan konkrit tebing sungai di sepanjang persisiran tamu dan penambahbaikan kemudahan dewan Kadamaian Square.

Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick berharap dengan siapnya pembangunan fasa 2 Kadamaian Square akan memberi manfaat dan keselesaan bukan sahaja kepada penduduk Kadamaian tetapi seluruh rakyat Kota Belud.

* Akibat tidak mengendahkan amaran bertulis yang dikeluarkan pada 26 Januari lalu untuk menyediakan alat pengimbas suhu, seorang pemilik premis menjual telefon bimbit di Kota Kinabalu dikenakan kompaun RM1,000 semalam.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata kompaun dikeluarkan atas kegagalan premis itu mematuhi prosedur operasi standard, SOP PKP.

5th February 2021.