Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 5 Disember 2019

148

Bersama Salbinous Saribun.

* Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal menyifatkan misi pelaburan Sabah ke Jepun sebagai satu kejayaan. Misi selama 5 hari itu yang diketuai sendiri Ketua Menteri berjaya memeterai perjanjian pelaburan bernilai RM100 juta dengan sebuah syarikat Jepun berpengkalan di Tokyo, Blue Capital Management Co Ltd., bagi pembangunan tenaga biomass yang melibatkan sewaan tanah seluas 2 hektar di POIC Lahad Datu untuk membina sebuah kilang memproses tenaga biomass dari kernel sawit kosong. Misi pelaburan Sabah yang berkunjung  ke Kobe, Nagoya dan Tokyo menemui pelabur dan ahli perniagaan Jepun serta lawatan ke syarikat dalam industri automotif, perabot dan teknologi berkaitan. Ada di antaranya menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan kerajaan Sabah. Beberapa inisiatif juga telah dibincangkan bagi mengurangkan birokrasi pelabur Jepun ke Sabah dengan mempercepatkan kelulusan dalam tempoh 24 jam kepada syarikat Jepun yang melabur di Sabah asalkan menepati syarat ditetapkan termasuk Laporan Impak Penilaian Alam Sekitar, EIA. Datuk Seri Mohd Shafie turut mengadakan perbincangan dengan  syarikat automatif terkemuka Jepun, Toyota untuk membuka kilang pemasangan komponen kenderaan keluarannya serta membuka pusat pengedaran kenderaan pacuan empat roda di Sabah.

* Datuk Seri Mohd Shafie yang juga presiden Parti Warisan Sabah mengesahkan calon dari parti itu akan bertanding dalam pilihanraya kecil, PRK Parlimen Kimanis. Bagaimanapun persoalan mengenai siapa calon parti Warisan masih menjadi tanya tanya kerana belum diputuskan. Beliau juga mengingatkan sesiapa pun calon dari parti Warisan yang bertanding kelak, haruslah seorang yang digemari rakyat dan boleh mewakili suara rakyat Kimanis.

* Kerajaan Sabah telah mengenal pasti kawasan seluas 25,000 hektar di Hulu Kinabatangan untuk diwartakan sebagai Koridor Makanan gajah selaras dengan hasrat mengurangkan konflik manusia-gajah di negeri ini. Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew berkata,  kawasan itu akan ditanam dengan tumbuhan yang boleh dijadikan makanan gajah, mulai tahun hadapan.

* Ketua Menteri berkata kerajaan Sabah memandang serius usaha menyelamatkan gajah  Borneo yang kini disifatkan dalam keadaan kecemasan berikutan konflik antara manusia-gajah yang semakin membimbangkan. Datuk Seri Mohd Shafie berkata sudah tiba masanya semua pemegang taruh dan pengusaha industri perladangan membantu Sabah dalam usaha menyelamatkan spesies terlindung itu daripada ancaman kepupusan.

* Orang ramai diberi amaran bahawa semua jenis kerang-kerangan seperti tiram, dalus dan remis khususnya dari Kuala Penyu adalah tidak selamat dimakan buat sementara waktu. Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Junz Wong berkata, ledakan alga beracun dikesan di perairan Kuala Penyu, berdasarkan keputusan analisa kerang-kerangan dan air laut oleh Jabatan Perikanan Sabah.

* Ribut tropika Kammuri dikesan bergerak ke arah barat dengan kelajuan 15 kilometer sejam dengan kelajuan angin maksimum 65 kilometer sejam. Menurut pencerapan Jabatan Meteorologi Malaysia jam 12 tengahari tadi, jarak Kammuri dari bandar terdekat kira-kira 870 kilometer ke barat laut Kudat di utara Sabah. Ribut tropika Kammuri dijangka tidak memberi kesan signifikan ke atas negara ini.

* Tiada pakaian seragam biru digunakan pegawai kesihatan yang melakukan pemeriksaan jentik-jentik di rumah penduduk. Sebaliknya setiap pekerja dan inspektor kesihatan yang ditugaskan melakukan pemeriksaan itu akan mengenakan seluar biru dan baju putih atau seluar hitam, baju kemeja putih lengan panjang dan bertali leher. Mereka juga wajib memakai tag nama dan kad kesihatan yang ditandatangani oleh pegawai kesihatan daerah selain menggunakan kenderaan rasmi Jabatan Kesihatan.

* 6 sekeluarga termasuk sepasang suami isteri warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Semporna hari ini atas pertuduhan sengaja mencederakan seorang guru tabika Kemas dengan senjata, 21 Oktober lalu.

* Berita baik untuk peminat Andmesh Kamaleng di Sabah. Penyanyi Indonesia yang kian popular dengan lagu “Cinta Luar Biasa” dan “Hanya Rindu” itu bakal membuat persembahan secara “live” di Pusat Komersial dan Teknologi Antarabangsa, ITCC, di Penampang, pada Sabtu, 7 Disember ini.