Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 5 April 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Sabah merekodkan satu lagi kematian akibat Covid-19 hari ini, melibatkan pesakit dari Tambunan yang ditempatkan di Hospital Keningau.

Pesakit berusia 66 itu yang mempunyai latar belakang kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang, dirawat di Hospital Keningau pada 26 Mac lalu dan disahkan positif Covid-19 pada 28 Mac lalu.

Pesakit itu dikatakan dijangkiti Covid-19 ketika baru pulang dari Semenanjung Malaysia dan meninggal dunia 9.36 malam, semalam.

Dengan ini, dua kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Sabah sehingga kini.

Kes kematian pertama dilaporkan pada 20 Mac lalu melibatkan seorang lelaki berusia 58 tahun di Hospital Tawau dari kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Setakat hari ini,  Sabah merekodkan 238 kes positif Covid-19, meningkat 13 kes.

Enam daerah menunjukkan pertambahan kes positif iaitu Kota Kinabalu, naik 5 kes, Kinabatangan, 3 kes baharu, Penampang, 2 kes baharu serta Kunak, Tuaran dan Beaufort masing masing 1 kes baharu.

34 orang telah pulih di Sabah.

Secara keseluruhannya, 4 lagi kematian akibat Covid-19 dilaporkan di seluruh negara hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kepada 61 kes.

Jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia kini 3,662 orang, pertambanan 179 kes hari ini.

* Jabatan Kesihatan Negeri Sabah menafikan berlaku kematian akibat Covid-19 di Beaufort, seperti yang ditularkan.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, mesej yang ditularkan melalui jaringan sosial Whatsapp itu tidak benar.

* Projek Perumahan Rakyat, PPR Taman Harmoni, di Sandakan  tidak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, PKPD.

Presiden Majlis Perbandaran yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Sandakan, Wong Foo Tin memaklumkan hanya pergerakan penduduk yang dikawal lebih rapi susulan lima kes positif Covid-19 dikesan di kawasan itu dan beberapa penghuni sudah dihantar ke pusat kuarantin.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komioner Mohd Azhar Hamin turut mengesahkan kenyataan Foo Tin dan berkata, kawalan di kawasan itu diperketatkan sebagai langkah untuk memudahkan Jabatan Kesihatan membuat saringan terhadap penghuni PPR itu.

Kawalan 24 jam membabitkan lebih 15 anggota pada satu masa untuk memastikan tiada pergerakan keluar dan masuk penduduk dari taman itu.

* Pejabat Kesihatan Kawasan Beaufort meminta orang ramai yang menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Batandok Poring pada 14 Mac lalu supaya tampil melakukan saringan kesihatan di Hospital Beaufort dengan segera.

Bagaimanapun orang ramai yang ingin datang membuat saringan dinasihatkan supaya menghubungi talian hotline Hospital Beaufort di 087 212333 sambungan 493 terlebih dahulu bagi menetapkan masa saringan.

* Aduan kehabisan bekalan makanan, merayu malah ada yang menangis.

Itu antara situasi yang dialami Ahli Parlimen Kalabakan Ma’mun Sulaiman ketika menerima aduan daripada penduduk setempat sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, PKP.

Ma’mun berkata, dia banyak menerima pesanan menerusi SMS, Whatapps dan panggilan telefon yang memohon bantuan terutamanya selepas hilang punca pendapatan.

Sehingga semalam, lebih 1,500 bantuan disalurkan kepada penduduk di Kalabakan membabitkan barangan keperluan dapur dan wang

Namun begitu, masih ramai lagi penduduk perlu dibantu terutamanya di kawasan pedalaman yang jauh dari pusat bandar Tawau, katanya hari ini.

Tambah Ma’mun, setakat ini, semua bantuan yang disalurkan itu menggunakan dana Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kalabakan termasuk wang gajinya sebagai wakil rakyat.

Ma’mun menyeru penduduk Parlimen Kalabakan yang berdepan masalah sepanjang PKP, menghubungi segera talian 089-777191 bagi membolehkan bantuan diberikan.

* Pusat Khidmat Parlimen P 170 Tuaran menyampaikan bantuan lebih 400 pakej makanan kepada penduduk terjejas di Kawasan Dewan Undangan Negeri Sulaman, Tuaran, hari ini.

Bantuan berupa beras, minyak masak, mee kuning, telur, gula dan beberapa makanan asas  lain, disampaikan oleh Ahli ParlimenTuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau di Dewan Muhibbah, Kampung Dungang, Tuaran.

Bantuan itu akan diagih agihkan melalui Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, MPKK.

Katanya kira-kira 2,000 lagi pakej bantuan makanan yang diperuntukkan kerajaan negeri akan menyusul di DUN Sulaman selepas ini.

Beliau meminta Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat UPPM Sulaman dan Pusat Khidmat Parlimen Tuaran menyelaraskan sumbangan itu dengan sebaiknya kepada golongan yang dikenal pasti

khususnya ibu tunggal, Orang Kurang Upaya, miskin tegar dan warga emas.

* Kenyataan Presiden Parti Rakyat Sarawak , PRS, Tan Sri Dr James Jemut Masing yang mempersoalkan kerajaan Sabah dalam tuntutan Perjanjian Malaysia 1963, MA63 adalah titik hitam dalam hubungan keluarga yang terjalin antara kedua-dua negeri selama ini.

Presiden Pertubuhan Kadazan Dusun Murut KDM Malaysia, Datuk Peter Anthony berkata, James perlu meminta maaf kepada rakyat Sabah yang selama ini berjuang bersama kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah untuk memastikan hak-hak yang dituntut ditunaikan.

Katanya, hubungan baik serta kerjasama antara Sabah dan Sarawak dalam menuntut hak tersebut tidak sepatutnya diusik atau dipersoalkan.

Tegas beliau, pendekatan yang diambil antara kedua-dua negeri mungkin berbeza, namun matlamatnya sama iaitu untuk memastikan hak-hak rakyat Sabah dan Sarawak dipulangkan.