Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 4th July 2020

Bersama Hikma Juni.

* Kerajaan Sabah mengorak langkah setapak lagi dalam membangunkan ekonomi negeri ke arah perindustrian dengan pelancaran jenama baharu minyak masak keluaran tempatan dikenali GOLD.

Produk kelapa sawit berkualiti tinggi itu yang diproses di kilang yang dibina di Sibuga, Sandakan adalah hasil kerjasama antara agensi kerajaan negeri, Kumpulan Sawit Kinabalu dengan Syarikat Intipati Minyak Sdn. Bhd.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal berkata, dengan pelancaran tersebut, ekonomi masyarakat setempat berjaya ditingkatkan melalui penyediaan peluang pekerjaan dan  pendapatan tambahan daripada industri hiliran sawit.

Datuk Seri Mohd. Shafie berkata, pembukaan kilang mengeluarkan GOLD adalah antara janji beliau kepada rakyat Sabah sebelum ini dalam usaha memastikan industri hiliran dapat dijana untuk membangunkan ekonomi negeri bukannya sekadar mengeluarkan minyak sawit mentah, CPO.

Laporannya bersama Tertia Jacob di Sandakan.

* Kumpulan Sawit Kinabalu dan Intipati Minyak Sdn. Bhd. merancang untuk mengembangkan lagi pasaran produk minyak masak GOLD keluaran syarikat itu ke negara jiran.

Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu, Masri Pudin, berkata ia adalah hala tuju syarikat itu dan sebagai permulaan, antara negara jiran yang dikenal pasti untuk pasarannya adalah Filipina.

Syarikat itu juga mahu mengembangkan perniagaan secara agresif dengan meningkatkan jumlah pengeluaran minyak masak sehingga ke puluhan ribu tan sebulan, berbanding antara 3,000 hingga 4,000 tan sebulan ketika ini.

* Kira-kira 2,000 peserta Ladang Bagahak, Lahad Datu akan mendapat kembali tanah mereka yang dituntut daripada Sawit Kinabalu sejak 12 tahun lalu.

Ketua Menteri berkata, tanah seluas kira-kira 6,800 hektar itu telah dituntut sejak zaman pemerintahan kerajaan terdahulu, namun tidak ditunaikan.

Sehubungan itu demi memastikan rakyat mempunyai tanah, Kabinet Sabah memutuskan agar tanah itu dikembalikan.

Pada masa sama, Sawit Kinabalu akan diberikan pampasan tanah lain berkeluasan 18,000 hektar untuk dibangunkan bagi memastikan agensi kerajaan itu dapat terus menjana pendapatan.

* Terdahulu dalam ucapannya, Ketua Menteri turut mengumumkan berita gembira kepada 1,900 penduduk Keningau yang bakal mendapat geran tanah setelah sekian lama tinggal di kawasan tanah milik syarikat berkaitan kerajaan, GLC.

Katanya merobohkan rumah yang terletak dalam kawasan GLC bukan penyelesaian kerana ia hanya menyusahkan rakyat.

Dan bagi memastikan rakyat Sabah tidak perlu berhijrah ke perantauan untuk mencari rezeki, lebih banyak kilang akan dibina mengikut kesesuaian industri di daerah.

Antaranya pembinaan kilang berasaskan pisang di Kota Marudu.

* Ketua Menteri menegaskan langkah Kerajaan Sabah memberi kebenaran kepada pekerja asing dari

China masuk ke negeri ini tidak seharusnya menimbulkan isu memandangkan perkara itu telah dimaklumkan kepada Jabatan Imigresen sebelum dilaksanakan.

Datuk Seri Mohd. Shafie berkata, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yakob mungkin tidak mengetahui perkara itu.

Justeru beliau telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri untuk memaklumkannya bagi memastikan ada penyelarasan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Ketua Menteri berkata, kebenaran itu diberikan kerana banyak projek pelaburan daripada syarikat China di Sabah terbantut dan untuk meneruskannya mereka memerlukan kepakaran teknikal tertentu dari negara tembok besar itu.

* Semakin ramai menyertai Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, UPKO.

Semalam, 513 individu daripada pelbagai parti termasuk Parti Solidariti Sabah Tanah Airku, STAR, Parti Bersatu Sabah, dan Barisan Nasional bertindak keluar parti dan menyertai UPKO.

* Sejak 1 Julai lalu, Kerajaan Sabah membenarkan semula aktiviti riadah di kolam renang dengan mematuhi prosedur operasi standard SOP yang ditetapkan.

Tinjauan BTTV di kolam renang kendalian kerajaan dan swasta termasuk di pusat peranginan 5 bintang mendapati penetapan dan pematuhan SOP bukan sahaja dipatuhi malah diberi perhatian serius bagi memastikan keselamatan pengunjung.

* Padah menyertai parti liar.

Lapan wanita antara 20 individu yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau semalam atas tuduhan penyalahgunaan dadah ketika berpesta di sebuah kediaman mewah di Taman Nordin, Tawau, Selasa lalu.

*  Seorang lelaki yang dilaporkan hilang semalam, ditemui mati tanpa kedua-dua tangan di Kampung Sungai Kalabakan, Tawau.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Penolong Kanan Penguasa Bomba, Zulbada Alior berkata,  mayat mangsa, Sukrien Jesman Yusoff, 24, ditemui penduduk kampung 11.03 pagi tadi.