Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 4th August 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Manifesto Parti Warisan Sabah untuk mengembalikan hak milik tanah warisan nenek moyang kepada penduduk tempatan yang dirampas pihak ketiga, berjaya direalisasikan dalam tempoh dua tahun menerajui negeri ini.

Naib Presiden Warisan Datuk Jaujan Sambakong berkata ramai lagi individu akan menerima geran tanah seperti di Tongod dan Beluran.

Beliau turut mengingatkan pihak luar agar tidak mencurahkan ‘racun’ terhadap keharmonian kaum di Sabah semata-mata mahukan pangkat dan kuasa.

* Kehadiran Ketua Bahagian Warisan Keningau Datuk Jake Nointin dalam Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi dan Ketua Bahagian Warisan, semalam menjawab segala teka-teki tentang dakwaan dirinya meninggalkan parti.

Katanya, beliau tidak pernah meninggalkan Parti Warisan Sabah seperti yang digembar gemburkan melalui gambar yang ditularkan itu.

* Tinjauan pendapat di kalangan bekas pegawai kanan kerajaan Sabah mendapati rata-ratanya menyokong penuh kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal.

Antara yang sempat kami temui, bekas Pengarah Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat, UPKR Sabah, Datuk Aliasgar Basri, bekas pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Jame Alip dan bekas Ketua Pegawai Kewangan Perbadanan Pinjaman Sabah, Datuk Abdullah Sibil.

* Walaupun terdapat cubaan untuk menghalang Pilihan Raya Negeri Sabah daripada diadakan termasuk mengheret perkara itu ke mahkamah atas alasan Covid-19, Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR mengesahkan agensi itu tidak mempunyai masalah untuk mengadakannya.

Pemangku Pengerusi SPR, Azmi Sharom berkata, suruhanjaya itu akan meneruskan persiapan sementara menunggu keputusan mahkamah.

Katanya, SPR tidak mempunyai masalah kerana sebelum ini telah mengadakan pilihan raya kecil Chini, Pahang manakala pilihan raya kecil Slim di Perak akhir bulan ini.

* Masalah Air di Mengkabong Tuaran dijangka selesai sekiranya pengurusan 21 tangki air diserahkan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan, FELCRA kepada Jabatan Air Sabah., kata Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Apabila selesai nanti katanya, ia dijangka mampu menampung keperluan kira-kira 3,800 penduduk.

* Kerang-kerangan dari perairan Labuan yang dijual di pasar basah tempatan di pulau itu, adalah selamat dimakan.

Pengarah Perikanan Labuan Faizal Ibrahim Suhaili berkata sampel air dan kerang-kerangan yang diambil dari sekitar perairan Labuan telah dihantar dan diuji di Makmal Biosekuriti Perikanan di Likas.

Sampel itu disahkan negatif daripada sebarang toksin paralytic shellfish poisoning, PSP.

Semalam, Jabatan Perikanan Sabah mengeluarkan amaran mengenai larangan menjual dan memakan kerang-kerangan laut berikutan penemuan kerang laut yang diambil dari perairan Kampung Binsulok, Membakut, dikesan mempunyai paras toksin, PSP yang tinggi.

* Kes jenayah di perairan Sabah menurun sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, PKP.

Namun itu tidak bererti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Sabah akan melonggarkan kawalan keselamatan, sebaliknya kerjasama erat dengan kerajaan negeri diteruskan agar jenayah rentas sempadan dapat ditangani dengan sebaiknya.

4th. August 2020.