Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 4th April 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Kerajaan Sabah menetapkan semua kenderaan persendirian, pengangkutan awam dan pengangkutan barangan komersil hanya dibenarkan beroperasi dari 6 pagi sehingga 6 petang sahaja sepanjang fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan, PKP.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Pusat Arahan Covid-19 Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkata bagi kenderaan persendirian hanya seorang sahaja dibenarkan berada dalam kenderaan kecuali bagi kes-kes kecemasan seperti ibu mengandung atau ingin mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

Untuk pengangkutan awam yang dibenarkan beroperasi seperti teksi, kereta sewa, e-hailing atau Grab pula, hanya pemandu dan dua penumpang sahaja dibenarkan.

Kesemua pemandu dan penumpang diwajibkan memakai penutup hidung dan mulut.

Kenderaan pengangkutan komersil yang membawa barangan keperluan seperti hasil tani dan ubat-ubatan juga hanya dibenarkan beroperasi sehingga 6 petang.

Sementara itu, waktu operasi pasar raya, kedai runcit, kedai serbaneka, restoran makanan segera dan stesen minyak pula dilanjutkan sehingga 6 petang, berbanding sehingga 5 petang semasa fasa pertama PKP.

Kenderaan persendirian hanya dibenarkan mengisi minyak antara 6 pagi  sehingga 2 petang. Manakala kenderaan komersial dan kenderaan kerajaan yang membawa essential goods atau tujuan  essential services atau perkhidmatan penting, dibenarkan mengisi minyak antara 6 pagi sehingga 6 petang.

* Kerajaan Sabah mengarahkan Jabatan Kerja Raya, JKR Sabah untuk membaiki dan menggantikan kemudahan asas yang rosak di setiap pusat kuarantin di negeri ini, kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong.

Menurutnya, mana-mana pusat kuarantin di Sabah yang memerlukan pembaikan, akan dibaiki menggunakan peruntukan kerajaan negeri meskipun bangunan pusat kuarantin itu adalah bangunan Kerajaan Persekutuan.

Baru-baru ini, sebuah video tular di media sosial yang memaparkan keadaan sebuah pusat kuarantin di Sabah yang kurang memuaskan.

Sebanyak 28 pusat kuarantin diwujudkan di Sabah bertujuan mengasingkan individu berisiko dijangkiti COVID-19 atau menjangkiti individu lain dalam usaha membendung penularan wabak itu.

* Banyak keluarga yang mengalami keadaan sukar di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, PKP.

Di Sandakan, seorang lelaki sanggup mengayuh basikal beberapa kilometer dari Kampung Bakau sehingga ke Sundang Darat  untuk mengejar sebuah kenderaan yang sedang mengangkut bantuan makanan dan merayu agar keluarganya yang terputus sumber makanan, turut diberikan bantuan, petang Isnin lalu.

Tindakan Fendi, 28 tahun, dari Kampung Bakau itu adalah demi memastikan isteri dan dua anaknya termasuk yang baru dilahirkan melalui pembedahan, dapat menjamah makanan.

Sejak PKP dilaksanakan, Fendi yang bekerja di sebuah kilang bebola ikan hilang pekerjaan yang menjadi punca rezeki untuk menyara keluarga.

* Prihatin dengan mereka yang terpaksa bekerja sepanjang tempoh PKP

termasuklah  kebajikan golongan yang terkesan, Persatuan Kinabalu Singh Sabha, KSSA tampil membantu meringankan beban mereka dengan menyumbangkan keperluan asas kepada lima organisasi hari ini.

Penerima bantuan KSSA itu ialah Jabatan Air Negeri Sabah , Pertubuhan Orang Buta Sabah, Persatuan Bulan Sabit Merah, Polis Kota Kinabalu dan Sukarelawan Simpanan Polis, PVR.

* Sejajar dengan larangan ke atas semua bot kumpit dari Indonesia dan Filipina daripada memasuki perairan Sabah di sepanjang tempoh PKP, 10 bot kumpit telah meninggalkan perairan negeri ini selepas menyelesaikan kerja memunggah barangan seperti beras, minyak masak dan mee di Labuan, Sandakan dan Tawau.

Komander Pasukan Polis Marin, PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata 10 bot kumpit berkenaan mendapat kelulusan kerajaan negeri untuk berlabuh di perairan Sabah bagi tujuan pemunggahan barangan atau transhipment di Pelabuhan Labuan, Sandakan dan Tawau.

2 bot kumpit berada di perairan Labuan, 6 di Sandakan dan 2 di Tawau.

Antara aktiviti pemunggahan barangan adalah beras, minyak masak dan mee untuk dibawa balik ke Filipina.

Pergerakan terakhir bot  kumpit keluar dari perairan Sabah adalah di Labuan membabitkan 2 bot, semalam manakala di Tawau pada 1 April dan di Sandakan pada 2 April.

PPM Wilayah 4 akan memantau secara berterusan pergerakan bot kumpit di perairan Sabah dan akan diusir keluar dari perairan negeri ini jika dikesan di sepanjang tempoh PKP sehingga 14 April.

*  Di Lahad Datu, seorang penjual arak bukan sahaja ditahan akibat ingkar PKP,  tetapi turut disiasat mengikut Akta Kastam 1967 kerana dipercayai menjual minuman keras yang diseludup dari negara jiran.

Dalam kejadian jam  6.55 petang semalam itu, suspek, 58 tahun , ditahan pihak berkuasa yang melakukan sekatan jalan raya di Pos Kawalan Polis Bantuan Felda, Pintu 55.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, ketika ditahan, suspek dalam perjalanan menaiki sebuah Perodua Alza ke Kampung Membatu, Tungku, yang jaraknya melebihi 10 kilometer  untuk menjual arak.

Turut ditemui 83 botol arak dipercayai diseludup dari Filipina dianggarkan bernilai lebih RM1,700.

* Dua agensi kerajaan di Tawau, GIATMARA dan Penjara menyumbang kepakaran menyediakan peralatan perlindungan diri, PPE untuk membantu petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus memerangi wabak Covid-19.

Pengarah GIATMARA Sabah, Sapli Awang Damit berkata enam tenaga pengajar dari GIATMARA Tawau bekerja sejak 30 Mac lalu untuk mengukur, memotong dan menjahit bahan untuk dijadikan satu set lengkap PPE.

Pengarah Penjara Tawau,  Penolong Kanan Komisioner Penjara Faisal Mohamed Noor berkata, 20 banduan menjahit PPE di Bengkel Jahit Penjara Tawau sejak 20 Mac lalu.

Sasarannya menyiapkan 500 PPE dalam tempoh dua minggu.