Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 4 March 2021

Bersama Reetasha Joanes Mijol.

* Kerajaan Sabah membuka 195 Pusat Pemberian Vaksin, PPV di seluruh negeri termasuk di kawasan pedalaman untuk mencapai imuniti berkelompok.

42,117 petugas barisan hadapan membabitkan petugas kesihatan dan kakitangan bukan kesihatan dikenal pasti sebagai penerima vaksin fasa pertama di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat negeri, hari ini.

Beliau antara 60 individu terawal yang menerima vaksin bersama menteri, pegawai kerajaan negeri dan 48 petugas barisan hadapan.

* Polis Kontinjen Sabah akan terus memantau gerakan anti vaksin menerusi semua platform termasuk laman media sosial bagi memastikan program imunisasi di negeri ini berjalan lancar.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata sekiranya ada gerakan sebegini, tindakan sewajarnya akan diambil.

* Operasi bersepadu bagi menangani kebanjiran pendatang asing tanpa izin, PATI di negeri ini akan dilancarkan selepas pandemik Covid-19 berjaya dilandaikan kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali.

Katanya, polis sudah memberi taklimat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Sabah susulan insiden sekumpulan masyarakat Palauh yang tinggal di dalam khemah di Sembulan.

* Parti Warisan Sabah akan mengambil tindakan undang-undang untuk mendorong Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Kadzim M Yahya menerima peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Sebatik Hassan A Gani Pg Amir, sekali gus mengosongkan kerusi itu.

Setiausaha Agung Warisan Datuk Loretto S Padua berkata pihaknya mempunyai dokumen yang jelas menunjukkan Hassan bersetuju untuk melepaskan jawatan sekiranya beliau meninggalkan parti, selain menandatangani surat untuk setia dengan Warisan secara sukarela.

* Kes positif baharu di Sabah kembali menurun dengan 78 kes dilaporkan hari ini, berbanding 95 kes semalam menjadikan jumlah kumulatif kini 53, 216 kes.

Tiada kes kematian dan tiada kluster baharu dilaporkan di Sabah hari ini.

Kalabakan mencatatkan bilangan kes harian tertinggi di Sabah dengan 12 kes positif hari ini, diikuti Nabawan 11 kes dan Keningau, 10 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata individu dari Sabah ke Semenanjung Malaysia tidak perlu menjalani ujian RT-PCR atau RTK-Ag Covid-19.

Namun individu dari Sabah ke Sarawak dan Labuan perlu menjalani ujian berkenaan dalam tempoh tiga hari sebelum perjalanan.

* Hospital Universiti Malaysia Sabah, UMS dijangka mula beroperasi, penghujung tahun depan.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Sri Abdul Rahman Dahlan berkata hospital berkenaan akan berfungsi sebagai pusat latihan praktikal kepada pelajar UMS, selain dibuka kepada orang awam bagi mendapatkan rawatan.

* Lapan mesin jual air disita oleh Kementerian Kesihatan Malaysia kerana beroperasi tanpa lesen.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Ir Shahelmey Yahya berkata, daripada 101 mesin jual air yang beroperasi di sekitar pusat bandaraya Kota Kinabalu, hanya 27 yang berlesen, manakala 74 lagi beroperasi tanpa lesen.

4th March 2021.