Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 4 January 2020

Bersama Aza Mini Liashin.

* Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal mengingatkan rakyat Sabah khususnya di Kimanis mengenai tindakan Umno dan PAS di Dewan Rakyat pada 9 April 2019. Ketika itu rakyat Sabah memerlukan wakil rakyat parti itu untuk menyokong Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 tetapi mereka menolaknya. Datuk Seri Mohd Shafie meminta setiap pengundi Kimanis yang berhasrat untuk menyokong Barisan Nasional, BN agar tidak terpengaruh dengan sikap hipokrasi pemimpin parti tersebut. Ketika itu, jika RUU berkenaan mendapat sokongan dua pertiga dan diluluskan di Dewan Rakyat, kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu Semenanjung Malaysia akan dikembalikan. Ini memudahkan Sabah menuntut haknya sepertimana terkandung di dalam Perjanjian Malaysia 1963, namun Umno dan PAS tidak menyokongnya. Hakikatnya ketika rakyat Sabah memerlukan, tiada seorang pun wakil rakyat Umno dan PAS yang mengundi untuk menyokong RUU berkenaan. Namun apabila tiba Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, berpusu-pusu pula pemimpin mereka hadir berceramah merayu undi orang Sabah.

* PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah, Warisan, Datuk Karim Bujang dan calon BN, Datuk Mohamad Alamin.

* Sementara itu, hari penamaan calon menyaksikan kehadiran pemimpin utama parti Warisan serta rakan kerjasamanya Pakatan Harapan PH dan juga pemimpin BN.

* Ketika proses penamaan calon pagi tadi, Datuk Seri Mohd. Shafie bertindak pantas menegur penyokong parti Warisan agar tidak melakukan provokasi dan ia berjaya mengelak berlaku pertembungan dengan penyokong BN.

* Ketua Menteri berkata kerjasama erat antara Warisan, PH dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, UPKO mampu menumbangkan BN dalam PRK Kimanis.

* Bagi Datuk Karim Bujang, pertembungan satu lawan satu memberi peluang baik kepada  parti Warisan  untuk menang PRK Parlimen Kimanis, namun ia bukan alasan untuk merasa selesa.

* Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar, 375 anggota polis termasuk 55 pegawai kanan ditugaskan di sekitar kawasan dewan penamaan calon serta mengawal pergerakan trafik agar lancar terutama di pekan Beaufort. 

* Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Bersatu, Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, parti Warisan adalah kawan yang perlu dibantu dalam PRK Parlimen Kimanis. Beliau berkata demikian ketika ditemui BTtv di majlis sambutan Hari Krismas dan Tahun Baru 2020 di Membakut, petang tadi.

Di majlis itu, buat pertama kalinya, Datuk Seri Hajiji hadir dan turut berucap di pentas sama dengan Ketua Menteri yang juga Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal. Datuk Seri Hajiji mengakui kehadirannya di program itu menandakan berakhirnya hubungan dingin antara mereka.

* Masalah petani dan nelayan di Kimanis akan diselesaikan kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Junz Wong.