Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 4 Disember 2019

195

https://youtu.be/BcTn1Ps0u_Q

Bersama Jo-Anna Sue Henley Rampas.

* Misi pelaburan Sabah ke Jepun berjaya memuktamadkan perjanjian pelaburan sebanyak RM100 juta daripada Blue Capital Management Co. Ltd., sebuah syarikat berpangkalan di Tokyo yang terlibat dalam penggunaan tenaga biomass. Perjanjian bersejarah itu disaksikan sendiri Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong. Perjanjian tersebut melibatkan sewaan tanah seluas 2 hektar di POIC Lahad Datu selama 20 tahun bagi membolehkan syarikat tempatan, Bloosom Bio Energy Sdn Bhd, BBE dan Blue Capital membina sebuah kilang memproses tenaga biomass daripada kernel sawit kosong, PKS yang akan dieksport ke Jepun. Ketua Menteri berkata kejayaan mendapatkan pelaburan itu amat bermakna untuk membangunkan ekonomi Sabah melalui industri sawit serta membuka peluang pekerjaan kepada rakyat khususnya di Lahad Datu. Sejak 2018, Blue Capital yang terlibat dalam sektor tenaga boleh diperbaharui mula menghasilkan sistem penyimpanan tenaga, ESS daripada biomass bagi memastikan kestabilan bekalan elektrik. Blue Capital merancang membina 3 stesen janakuasa berkapasiti 50 megawatt di Hokkaido, Shizuoka dan Aichi, yang memerlukan bekalan 750,000 tan kernel sawit kosong, setiap tahun.

* Datuk Seri Mohd. Shafie berkata misi pelaburan Sabah ke Jepun kali ini telah berjaya dengan penglibatan lebih 500 ahli perniagaan serta potensi pelabur dari Jepun. Tindakan susulan perlu diambil untuk memastikan setiap pemadanan perniagaan yang dibuat dapat direalisasikan. Katanya kerajaan Sabah akan terus melaksanakan dasar dasar terbaik bagi memastikan pelaburan ke negeri ini bukan sahaja dipermudahkan tetapi mampu bertahan untuk jangka panjang. Persoalan yang dibangkitkan mengenai insentif, perlu diperhalusi kerana pelabur ingin melihat pelaburan mereka bukan hanya membawa manfaat, tetapi mampan dan berpanjangan. Ketua Menteri turut mengadakan mesyuarat dengan pengurusan kanan syarikat peruncitan terkemuka Jepun, Mitsui Corporation (Mitsui) yang mempunyai cawangan di banyak negara. Mesyuarat membincangkan kesediaan Sabah menyediakan satu lokasi untuk Mitsui membuka cawangannya di negeri ini.

* Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, MIDA, Datuk Azman Mahmud berkata dasar memudahkan kemasukan pelabur seperti memberikan kelulusan dengan cepat yang dilaksanakan Ketua Menteri, adalah antara pemudah cara yang diperlukan oleh setiap pelabur dalam membuat keputusan melabur ke mana-mana negara. Katanya dasar ini memberi imej baik kepada pelabur kerana menunjukkan Sabah bersedia menerima pelaburan untuk mengembangkan ekonomi negeri ini. Misi pelaburan Sabah ke Jepun yang diketuai sendiri Ketua Menteri turut meyakinkan lagi pelabur, kerana mereka boleh bertanya secara terus mengenai persoalan yang timbul sebelum membuat sebarang keputusan. Datuk Azman berkata, secara keseluruhannya, misi pelaburan kerajaan Sabah bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta agensi di bawahnya berjaya membuka peluang lebih besar kepada setiap peserta terutama Sabah. Katanya, setiap wakil daripada 500 syarikat yang hadir dalam seminar pelaburan serta program pemadanan perniagaan yang dijalankan di Kobe, Nagoya dan Tokyo menunjukkan minat untuk datang ke Malaysia termasuk Sabah.

* Majlis Keselamatan Negara, MKN Sabah menghantar pulang 3,909 pendatang asing tanpa izin,  Filipina dan Indonesia, ke negara asal sepanjang bulan ini. Timbalan Pengarah Keselamatan MKN Sabah, Muhammad Hafiz Abdul Rahman berkata jumlah itu terdiri daripada 3,800 pendatang Filipina yang dihantar melalui Sandakan ke Zamboanga serta 109 pendatang Indonesia yang diusir dari negara ini melalui Tawau ke Nunukan. Sepanjang tahun ini, 11,340 PATI dihantar pulang ke negara asal dari Sabah. MKN Sabah telah menghantar pulang 589, 364 pendatang dari Filipina dan Indonesia sejak 1990.

* Peningkatan peruntukan khas dalam belanjawan 2020 kepada badan keagamaan bukan islam daripada RM 35 juta tahun ini kepada RM43 juta, tahun hadapan, menjadi bukti kerajaan Sabah sentiasa terbuka memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat – Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick.

* 6 tahun sudah berlalu, namun tragedi wira wira negara yang terkorban dalam insiden berdarah di kampung Simunul, Semporna masih sukar dilupakan oleh isteri dan anak-anak yang ditinggalkan.

* Unit Strike Team Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau sentiasa bersedia menghadapi sebarang ancaman khususnya di kawasan bandar. Strike Team satu-satunya unit yang berkeupayaan menjalankan tugasan rumit dan berkemahiran dalam pertempuran jarak dekat.

* Bank Rakyat meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial korporat, CSR melalui pelancaran pusat pembangunan usahawan pulau Bum Bum, di Semporna. Program itu adalah kesinambungan daripada inisiatif CSR yang telah diadakan di pulau Mabul, April lalu.