Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 3rd May 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Kerajaan Sabah tidak akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB seperti yang diumumkan Kerajaan Persekutuan, Jumaat lalu.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal berkata, susulan keputusan itu, Sabah mengekalkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, PKP tahap 4 yang akan berakhir pada 12 Mei.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, pendirian ini diambil bagi meneruskan usaha untuk membendung penularan pandemik Covid-19 dan memastikan rakyat tidak terdedah dengan jangkitan virus itu.

Oleh itu, Datuk Seri Mohd Shafie menyeru rakyat untuk terus mematuhi PKP tahap 4 yang sedang berkuatkuasa.

Selain Sabah, kerajaan Sarawak dan beberapa negeri lain turut memutuskan tidak akan melaksana PKPB.

Pelbagai pihak termasuk menteri kabinet negeri dan Ahli Parlimen, menyokong keputusan diambil Kerajaan Sabah itu.

Menurut mereka, adalah lebih baik mengambil langkah selamat daripada berdepan risiko penularan wabak Covid-19.

Kerajaan Sabah mengambil keputusan itu setelah mempertimbangkan soal kesihatan dan keselamatan rakyat.

Menurut mereka, kerajaan Negeri sentiasa prihatin dengan keselamatan rakyat jelata terutama melibatkan ancaman nyawa seperti pandemik Covid-19.

Rakyat juga mahu keadaan negara dipulihkan secara berperingkat, bukannya secara tergesa-gesa.

Perancangan tidak menyeluruh berpotensi mengganggu sistem penjagaan kesihatan dan melemahkan usaha memerangi COVID-19.

* Semua agensi Kerajaan Persekutuan di Sabah masih tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan, PKP selari dengan keputusan Kerajaan Sabah untuk tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB esok.

Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Samsuni Mohd. Nor berkata, hanya agensi kritikal sahaja yang boleh beroperasi contohnya Jabatan Pendaftaran Negara bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas.

Katanya, jika ada agensi Persekutuan lain yang perlu beroperasi, ketua jabatan akan memastikan setiap arahan prosedur operasi standard yang ditetapkan dipatuhi sepanjang masa.

* Susulan keputusan Kerajaan Sabah membenarkan pelajar yang baru  pulang ke negeri ini dari Semenanjung Malaysia dan Sarawak untuk menjalani  kuarantin di rumah.

Jabatan Kesihatan Negeri Sabah , JKNS mengingatkan pelajar agar mematuhi arahan itu dengan sepenuhnya.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata sebelum ini, cadangan menempatkan pelajar di pusat kuarantin selama 14 hari yang mendapat kritikan, dibuat setelah mengambil kira pergerakan pelajar dalam jumlah yang besar ke kampung halaman kerana dikhuatiri ada yang membawa virus tanpa disedari.

Namun, keputusan telah dibuat untuk membenarkan pelajar menjalani kuarantin di rumah selepas sampel rongga hidung dan tekak diambil.

Oleh itu  JKNS menyeru kepada semua pelajar untuk mematuhi sepenuhnya arahan kuarantin di rumah dan menjalani semua prosedur ketat yang telah ditetapkan termasuk kawalan pergerakan.

* Kes Covid-19 di Sabah semakin berkurangan, hanya 44 kes masih dirawat di hospital termasuk empat kes dirawat semula.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata untuk hari ini, hanya satu kes baharu Covid-19 dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan 316 kes di Sabah.

Setelah tiga hari tiada kes positif Covid-19 dilaporkan, Sabah mencatatkan satu kes baharu di Kota Kinabalu menjadikan kes di daerah ini meningkat kepada 50.

* Keperluan menghantar pelajar tajaan Yayasan Sabah ke luar negara tahun ini akan diteliti berikutan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Jamalul Kiram Mohd Zakaria berkata perkara itu sukar diputuskan buat masa ini berdasarkan situasi semasa Covid-19.

* Pergerakan pulang pelajar Universiti Malaysia Sabah UMS akan bermula 5 Mei ini

.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UMS Prof Madya Dr Raman Noordin berkata, pelajar akan dimaklumkan secara berperingkat dan senarai nama pelajar terlibat akan dimaklumkan melalui kolej-kolej kediaman.

Katanya UMS sedang merangka dan mengatur penjadualan pergerakan pelajar untuk pulang ke kampung masing-masing dengan mematuhi syarat-syarat ditetapkan kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pelajar sentiasa diutamakan.

* Parti Warisan Sabah Bahagian Tawau membuat satu laporan polis berhubung penularan sebuah video menunjukkan seorang lelaki Pakistan mengucapkan terima kasih kepada pimpinan kerajaan selepas menerima bantuan.

Laporan tersebut dibuat Ketuanya, Abdul Salip Ejal di Ibu pejabat Polis Daerah Tawau bagi memberi penjelasan tentang perkara sebenar sebelum video berkenaan disalah erti oleh mana-mana pihak.

Dalam laporannya, Abdul Salip menafikan bantuan RM1,000 yang diterima isteri lelaki tersebut, seorang rakyat Sabah adalah daripada Kerajaan Sabah.

Sebaliknya wang itu adalah Bantuan Prihatin Nasional, BPN yang disediakan Kerajaan Persekutuan manakala bantuan diberikan oleh kerajaan negeri adalah berupa barangan makanan sahaja.

* Sebuah kedai perabot, Home Mart Furniture, di Pekan Donggongon, Penampang, musnah sepenuhnya dalam kebakaran kira kira 5 petang tadi.

Siasatan awal bomba tidak menolak kemungkinan kebakaran berpunca akibat litar pintas.

Kedai itu tidak beroperasi sejak PKP dan hanya terdapat  seorang pekerja menjaga kedai ketika kejadian.

Api dilaporkan bermula dari

dinding stor yang menempatkan suis utama.

Pekerja berkenaan cuba memadam kebakaran  mengunakan alat pemadam api namun tidak berjaya.

Sehingga 8 malam tadi, operasi  pemadaman masih  masih dilakukan oleh aset dari Balai Bomba dan Penyelamat Penampang.

Video dan gambar kebakaran itu tular di laman sosial.

Kedai perabot berkenaan dilaporkan antara yang terbesar di daerah Penampang dan menjadi tumpuan orang ramai untuk membeli belah.

Siasatan lanjut masih dijalankan bomba.