Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 3rd July 2020

Bersama Beverly Anastacia Lim.

* Ekonomi Sabah yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19 mendapat suntikan pelaburan RM7 bilion daripada anak syarikat hartanah terkemuka antarabangsa Pavillion Real Estate Investment Trust, Tegas Bangsa Sdn. Bhd.

Perjanjian pembangunan bersama antara Yayasan Sabah dengan Tegas Bangsa dimeterai hari ini sambil disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal.

Projek tersebut membolehkan Tegas Bangsa membangunkan tanah milik Yayasan Sabah seluas 156.4 hektar di Meruntum, Lok Kawi dengan pembangunan pusat pelancongan, komersial, hotel, perumahan, taman tema dan pelbagai lagi bermula tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh 15 tahun.

Ketua Menteri berkata projek tersebut dijayakan tepat pada masanya ketika Sabah sedang dalam proses pemulihan terutama dalam sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat Covid-19.

* Projek pembangunan bernilai RM7 bilion di Meruntum, Lok Kawi yang dimeterai Yayasan Sabah dengan Tegas Bangsa Sdn. Bhd. adalah jawapan kepada dakwaan kononnya agensi itu dilanda masalah kewangan.

Pembangunan tersebut juga membuktikan bahawa Yayasan Sabah kini tidak lagi fokus kepada menjual balak semata-mata, sebaliknya sejak Parti Warisan Sabah memerintah, agensi itu kini mula beralih kepada pembangunan hartanah untuk menjana hasil dan membangunkan negeri.

Pengarahnya, Datuk Jamalul Kiram Mohd. Zakaria berkata, zaman Yayasan Sabah berbelanja besar walaupun tanpa pendapatan juga sudah berakhir, sebaliknya agensi itu kembali fokus kepada objektif penubuhannya untuk membangunkan sektor pendidikan negeri.

* Kerajaan Sabah membenarkan pelaksanaan majlis anjuran kerajaan dan swasta dengan jumlah kapasiti tidak melebihi 250 orang.

Ketua Menteri berkata kebenaran itu bergantung kepada saiz ruang dan penjarakan sosial di lokasi penganjuran.

Bagaimanapun, prosedur operasi standard, SOP Am pelaksanaan majlis kerajaan dan swasta yang telah disediakan wajib dipatuhi oleh setiap agensi kerajaan serta swasta yang ingin melaksanakan sebarang mesyuarat, seminar, bengkel, kursus, latihan, persidangan, ceramah dan majlis.

* 2 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan hari ini iaitu di Kota Kinabalu dan Ranau.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Sabah meningkat kepada 375 kes.

* Pasar Umum Sandakan yang sebelum ini ditutup sementara selama tujuh hari bagi membolehkan kerja sanitasi dan nyahkuman dilakukan susulan kes positif Covid-19 yang dikesan di pasar itu, dibuka semula mulai tengah malam semalam.

Namun pemborong dan peniaga perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Sejumlah 502 peniaga telah menjalani ujian saringan Covid-19 sejak 22 Jun lalu dimana seorang didapati positif, 346 negatif dan 155 masih menunggu keputusan ujian.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata kerja sanitasi dan nyahkuman telah diselesaikan oleh kakitangan Jabatan Kesihatan.

* Kesemua pusat pemindahan banjir di Sabah, ditutup hari ini apabila 36 mangsa banjir terakhir yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Masyarakat Tun Said, Kota Belud dibenarkan pulang ke rumah masing masing pada pukul 11.30 pagi tadi.

* Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN, Kuamut, Datuk Masiung Banah akan menanggung sepenuhnya hutang yang masih belum dibayar untuk memastikan perkhidmatan van menghantar pelajar asrama ke Sekolah Menengah Kebangsaan, SMK Entilibon diteruskan

* Penguatkuasaan arahan ‘lockdown’ dan penutupan sempadan oleh kerajaan Filipina bagi mengekang wabak Covid-19 di negara itu, menyebabkan ribuan pendatang asing tanpa izin, PATI Filipina terkandas di pusat tahanan sementara di Sabah sejak Mac lalu.

Setelah hampir 4 bulan tertangguh, proses pengusiran itu bermula hari ini.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara, MKN Negeri Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata, seramai 395 PATI Filipina diusir melalui jalan laut dengan menaiki kapal MV Antonia 1 dari Pelabuhan Sandakan ke Zamboanga, Filipina.

* Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menahan dua bot nelayan Vietnam di perairan Pulau Mengalum, kelmarin.

Seramai 21 nelayan warga Vietnam turut ditahan selepas didapati tiada dokumen pengenalan diri yang sah.