Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 3rd August 2020

Bersama Reetasha Joanes Mijol.

* Setia kepada parti dan tidak akan melompat seperti ‘katak politik’.

Itu antara kriteria utama yang menjadi pertimbangan Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal dalam meletakkan calon mewakili Parti Warisan Sabah, Pakatan Harapan Sabah dan UPKO untuk berdepan Pilihan Raya Negeri Sabah.

Presiden Warisan itu berkata, kesetiaan kepada parti penting kerana tiada gunanya meletakkan calon yang mempunyai kredibiliti sekalipun jika akhirnya mereka melompat parti dan berpaling tadah, membelakangkan mandat rakyat.

* Parti Warisan Sabah akan memuktamadkan senarai calon parti itu bagi Pilihan Raya Negeri Sabah, dalam masa terdekat.

Datuk Seri Mohd Shafie berkata semua pimpinan parti telah diminta untuk mengemukakan senarai calon masing-masing untuk diperhalusi.

Sementara itu, meskipun yakin akan menang lebih banyak kerusi dalam Pilihan Raya Negeri Sabah kali ini., Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Warisan tidak boleh terlalu sombong kerana pilihan terletak ditangan rakyat.

* Pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional, PN bercakap kononnya rakyat tidak sepatutnya diheret sekali lagi dalam konflik politik terutama selepas Pakatan Harapan cuba untuk mengambil semula mandat yang diberikan rakyat pada 2018.

Hakikatnya, di Sabah, kerakusan pemimpin PN mengatur strategi untuk menggulingkan kerajaan Parti Warisan Sabah menyebabkan ramai pemimpin menjadi ‘katak politik’ kerana ditawarkan pelbagai habuan.

Pemimpin PN perlu berasa malu dengan tindakan mereka sendiri yang mencemar titah Yang di-Pertuan Agong agar rakyat Malaysia tidak lagi diheret ke dalam kancah ketidakstabilan politik.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, beliau sebagai kerajaan pembangkang di Sabah telah beberapa kali menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan secara G2G, namun itu semua tidak dipedulikan.

Sebaliknya, Kerajaan Sabah ditekan dari pelbagai sudut manakala wakil rakyatnya pula ditakut-takutkan sehingga menyebabkan politik Sabah yang stabil selama ini menjadi mangsa.

* Naib Presiden Warisan Datuk Jaujan Sambakong berkata, parti itu bukan sahaja akan meletakkan calon yang setia, malah mampu menawan hati rakyat dalam Pilihan Raya Negeri akan datang.

* Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, UPKO akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu pada Pilihan Raya Negeri Sabah akan datang.

Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata UPKO sudah bersedia sejak dua tahun lalu dari segi jentera pentadbiran parti sehingga jentera pilihan raya.

* Kontak dua remaja yang dikesan positif Covid-19 di Pintu Masuk Antarabangsa Laut di Terminal Feri Labuan, sedang dikenalpasti Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.

* Penduduk sebuah perkampungan atas air di Tawau, gempar selepas terdengar beberapa das tembakan dipercayai berkaitan kes jenayah, semalam.

Difahamkan kejadian berlaku sekitar jam 5 petang di Kampung Hidayat, Batu 4,, membabitkan seorang suspek lelaki, 20-an, yang ditembak anggota polis.

* Pasukan Polis Marin, PPM menahan dua lelaki warga Filipina dan merampas 800 bungkus rokok tidak bercukai dianggarkan bernilai lebih RM11,000 di Kampung Yayasan Sabah, Lahad Datu, semalam.

* Hari ini 3 Ogos, genap setahun BT tv bersiaran.

Terima kasih atas sokongan anda.

3rd August 2020.