Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 3rd April 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Kekurangan bekalan kit ujian (reagen) untuk mengesan jangkitan Covid-19 di Sabah berjaya diatasi untuk tempoh beberapa minggu akan datang selepas 5,000 unit bahan itu yang dibeli dari Singapura dengan harga RM900,000 berjaya diperoleh hari ini.

Pembelian semua kit ujian itu yang menjadi rebutan di seluruh dunia, diuruskan pertubuhan bukan kerajaan, NGO, Osimal Foundation menerusi hubungan baik pengerusi Osimal yang juga bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum dengan beberapa individu.

Kit ujian itu diperoleh dengan bayaran RM700,000 oleh Kerajaan Sabah manakala RM200,000 lagi oleh NGO, Dato Chua Song Lim & Datin Koh Sai Eng Foundation Incorporated.

Kit ujian itu yang diterbangkan dari Singapura menggunakan pesawat Airbus A400 milik Tentera Udara Diraja Malaysia TUDM, mendarat di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu petang ini.

Penerbangan berkenaan turut membawa pelbagai lagi bekalan untuk Sabah yang dibeli dari China iaitu  200,000 keping penutup hidung dan mulut, 50,000 pasang sarung tangan, 10,000 liter cecair pembasmi kuman dan beberapa lagi barangan penting.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkata, semua kit ujian yang sangat sukar diperoleh kerana mendapat permintaan seluruh dunia itu akan terus di hantar ke makmal untuk memastikan  sampel yang ada dapat diuji bagi mengesan jangkitan Covid-19.

Katanya, proses pembelian dan penghantarannya ke Sabah tidak akan berjaya tanpa bantuan TUDM, NGO dan semua agensi yang terlibat dalam memerangi Covid-19.

* Seorang penjaja pasar malam di Tawau, melakukan kerja kebajikan menghasilkan topeng pelindung muka atau face shield untuk kegunaan petugas barisan hadapan Covid-19.

Pada mulanya, Muhamad Al Hafiz Sahari, 30 tahun menghasilkan topeng berkenaan  untuk kegunaan sendiri sebelum menyedari ia diperlukan petugas hospital dan klinik untuk merawat pesakit Covid-19.

Hasil bantuan seorang pembuat sofa kenderaan, sebuah syarikat alat tulis, ahli keluarga, rakan dan orang ramai, beliau berjaya menyerahkan 150 topeng berkenaan yang sudah siap kepada petugas kesihatan di Tawau, hari ini.

Menurut Hafiz, dia hanya menjalankan tanggungjawab sebagai masyarakat Malaysia  ketika berdepan situasi getir sekarang.

Beliau hanya mengharapkan petugas barisan hadapan dapat menjalankan tugas dengan selamat dan keadaan kembali pulih.

* Keenakan daging haiwan liar seperti rusa dan pelanduk yang diidamkan, namun penjara pula yang menanti. Itu yang berlaku dalam dua kejadian berasingan di hutan di Kota Belud dan Keningau, baru-baru ini. Kedua dua kejadian berakhir dengan tragedi, apabila rakan sendiri maut terkena tembakan senapang buatan sendiri atau ‘Bakakuk’, kerana disangka binatang liar.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass  berkata  dua kejadian itu berlaku

di kawasan hutan Kampung Rampayan Ulu, Kota Belud pada pukul 2 petang  Selasa lalu dan di Hutan Simpan Trus Madi, Sook, Keningau, kira-kira pukul 9 pagi, Rabu lepas.

* Bila dibantu, difitnah pula.

Begitulah sikap segelintir masyarakat pada masa kini yang gemar menuduh, menabur fitnah dan membuat andaian sendiri terhadap bantuan ikhlas Covid-19 yang disalurkan oleh kerajaan China kepada Sabah baru-baru ini.

Individu berkenaan gemar menggunakan platform media sosial untuk menyebar fitnah, pembohongan dan berita palsu kononnya bantuan sebanyak 166,000 penutup hidung dan mulut serta sarung tangan yang diderma oleh kerajaan China baru-baru ini tercemar.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa beliau telah menerima banyak aduan daripada masyarakat umum mengenai bantuan berkenaan yang diderma oleh Konsulat Jeneral Republik Rakyat China kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji  Apdal di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 29 Mac lalu, kononnya tercemar.

Menurut Chan, kesemua itu adalah fitnah berbaur perkauman yang boleh menjejaskan hubungan diplomatik  Malaysia dan China serta memudaratkan usaha menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia dari ancaman wabak Covid-19.

Justeru, beliau  mengutuk dengan sekeras-kerasnya pihak yang menggunakan media sosial untuk menyebarkan berita palsu ini.

Tegas Chan, polis dan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia  harus  menahan dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyebarkan fitnah mengenai bantuan kerajaan China untuk Kerajaan Sabah.

* Masalah kemudahan di pusat-pusat kuarantin di Sabah akan dibincangkan antara Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon dengan Kementerian Kesihatan di peringkat Persekutuan. Datuk Frankie berkata ada antara pusat kuarantin berkenaan ditempatkan di bangunan lama Persekutuan yang perlu ditambah baik.

Datuk Frankie berkata

sudah tiba masanya untuk Kerajaan Persekutuan melihat keperluan dan kebajikan petugas kesihatan dan jururawat pelatih di bangunan lama sedemikian. Menurutnya, beliau sendiri kurang senang melihat kemudahan di beberapa pusat perubatan sejak hari pertama. Beberapa isu berkaitan dengan pusat-pusat kuarantin itu perlu diselesaikan.

* Polis Sabah mengambil inisiatif memasang khemah sanitasi mudah alih untuk menyembur cecair pembasmi kuman di semua ibu pejabat polis daerah, IPD dan di Ibu pejabat Polis Kontinjen  Sabah sebagai langkah pencegahan jangkitan Covid-19 untuk kegunaan warga polis dan orang awam yang berurusan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, sekurang-kurangnya RM70,000 dibelanjakan untuk membayar pembekal yang akan memasang khemah berkenaan di semua IPD seluruh negeri dalam tempoh tiga hari.

Datuk Zaini berkata peruntukan RM1 juta yang disumbangkan kerajaan Sabah kepada agensi keselamatan digunakan untuk pemasangan khemah berkenaan, justeru beliau merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal atas bantuan diberikan.

* Polis Sabah akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pegawainya di Kunak yang merotan enam remaja kerana bukan sahaja ingkar Perintah Kawalan Pergerakan, PKP malah memperlekeh pihak berkuasa yang menegur

mereka sebanyak dua kali di Kampung Pangi Tengah.